Selasa, 12 November 2013

Review: MU vs Arsenal (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 1
v. Persie 27'

ARSENAL 0



Pemain terbaik perlawanan:

WAYNE ROONEY


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Cleverley >> Vidic
Giggs >> Kagawa
Fellaini >> RVP


Ulasan perlawanan:

Sebelum sepak mula perlawanan, MU dianggap sebagai 'underdog' memandangkan Arsenal ketika ini sedang gah sebagai pendahulu carta BPL. Selain itu, MU juga tertekan untuk merapatkan jurang perbezaan lapan mata yang dimiliki oleh Arsenal. Jika kekalahan yang dialami, MU akan ketinggalan 11 mata dengan Arsenal. Jadi, MU sememangnya mensasarkan tiga mata penuh, tambahan pula MU beraksi di halaman sendiri.

DM terus mengekalkan gandingan Rooney dan RVP mengepalai serangan MU di mana RVP bertindak lebih sedikit ke hadapan manakala Rooney berfungsi di belakang bagi membolehkan Rooney turut memainkan peranan membantu bahagian tengah MU. Seperti dalam mana-mana perlawanan besar, Jones diturunkan dalam kesebelasan utama MU bagi berpasangan dengan Carrick di bahagian tengah. Mereka berdua diapit oleh Valencia dan Kagawa di kanan dan kiri.

Bahagian pertahanan menyaksikan Evans beraksi di samping Vidic di pertahanan tengah. Smalling beraksi di pertahanan kanan selepas Rafael mengalami kecederaan manakala Evra meneruskan tugasnya di pertahanan kiri. DDG mengekalkan statusnya sebagai penjaga gol utama MU.

Sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan, MU telah mula menampakkan kesungguhan untuk merobek pertahanan Arsenal. MU mempamerkan corak permainan yang mudah dengan hantaran-hantaran kemas tetapi agak kurang berjaya dalam mencipta peluang yang benar-benar berkesan.

Permainan bagi kedua-dua pasukan agak seimbang walaupun MU telah dihadiahkan dengan beberapa sepakan sudut. Hasilnya, MU memperoleh gol tunggal perlawanan menerusi tandukan RVP yang berpunca dari sepakan sudut Rooney. Kepantasan RVP untuk menanduk bola ke dalam gawang gol Arsenal gagal dihidu oleh pemain Arsenal yang dilihat cukup ramai dalam kotak penalti Arsenal.

Sejurus gol tersebut, Arsenal cuba bangkit dan mula mengancam MU. Pemain termahal Arsenal, Ozil yang diharapkan mampu untuk menggerakkan serangan bersama-sama Ramsey dan Cazorla, tidak dapat berfungsi dengan baik kerana diekori rapat oleh Jones. Jones sememangnya menjadi pemusnah buat Arsenal apabila kerap menyekat pergerakan bahagian tengah Arsenal terutamanya Ozil serta mematahkan permainan Arsenal sekaligus menyebabkan Arsenal tidak berupaya melakukan lorongan bola.

Kagawa menampakkan disiplin yang cukup tinggi terutamanya ketika tugas defensif membantu Evra di sebelah kiri. Boleh dikatakan, Arsenal hanya boleh bergerak di kawasan tengah sahaja setelah bahagian tepi, kiri dan kanan gagal untuk melepasi kawalan kemas Evra dan Smalling.

Separuh masa kedua merupakan episod berlainan dari separuh masa pertama apabila Arsenal bijak memperkemaskan permainan. Dengan Kagawa sedikit kepenatan, Arsenal mula mengancam di sebelah kanan menerusi Sagna. Jadi, DM mengambil keputusan untuk mengeluarkan Kagawa dan memasukkan Giggs. 

Sebelum itu, Vidic tidak dapat diturunkan dalam separuh masa kedua selepas mengalami sedikit kecederaan akibat terlanggar dengan DDG. Cleverley dimasukkan dan ini menyaksikan Jones berubah posisi ke pertahanan tengah sementara Cleverley berada di samping Carrick.

MU bermain secara satu pasukan di mana kesemua pemain menunjukkan komitmen yang baik bagi mengekang asakan Arsenal terutamanya Rooney yang langsung tidak memperlihatkan kepenatan ketika berlari ke serata padang. Bahagian pertahanan MU harus diberikan pujian apabila cukup kental bertahan.

Tiga mata penuh diraikan oleh MU sebaik wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan. Wajah puas ternyata dapat dilihat pada setiap pemain MU. Kini, MU telah merapatkan jurang dengan empat kelab teratas dan rehat dua minggu ini sememangnya layak untuk MU selepas menunjukkan persembahan yang memberangsangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan