Selasa, 11 Jun 2013

Perkembangan terkini MU


Terlebih dahulu aku ingin memohon maaf kerana kadang-kala tidak mengemaskini blog MBD untuk beberapa hari. Ini adalah kerana aku telah bercuti dan semestinya tidak dapat menghadap laptop bagi memasukkan entri ke dalam blog.

Sepertimana yang telah diketahui, David Moyes (DM) akan menggantikan SAF di tampuk pengurusan MU. Kalau diikutkan kontraknya, DM akan memulakan tugas pada 1 Julai 2013, tetapi DM sudahpun melawati pusat latihan MU dan kini telah menyatakan minatnya terhadap beberapa pemain baru bagi menguatkan skuad MU untuk musim hadapan.

Fabregas adalah salah satu nama yang dikaitkan dengan perpindahan ke MU pada musim panas ini. Setelah kembali ke Barcelona, Fabregas gagal untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama dan DM dikatakan bersedia untuk menjanjikan peluang yang lebih bagus buat Fabregas di MU.

MU bersaing dengan Arsenal bagi mendapatkan Fabregas

Pada pendapat aku, Fabregas merupakan pemain tengah yang bagus kerana bukan sahaja mampu membuat lorongan bola dengan baik, malah Fabregas turut cemerlang dalam naik ke atas untuk membantu bahagian serangan. Corak permainan Fabregas amat diperlukan oleh MU memandangkan Carrick memerlukan pasangan yang lebih dinamik dan mempunyai kreativiti bagi mengemudikan bahagian tengah MU.

Anderson masih tidak mampu menonjolkan prestasi yang benar-benar mencuri tumpuan walaupun telah berada di MU lebih dari lima musim. Cleverley pula gagal menunjukkan prestasi yang baik secara konsisten dan dilihat tidak mempunyai ketenangan dan kurang bijak dalam mengadaptasikan diri bagi pelbagai taktikal atau strategi yang ditetapkan.

Fabregas sememangnya telah membuktikan kemampuannya pada usia awal dan menunjukkan kematangan sehinggakan Wenger memberikan kepercayaan kepadanya untuk menjadi kapten pasukan Arsenal. Jika dapat direalisasikan, kemasukan Fabregas ke MU dapat memberikan ruang kepada Carrick membuka permainan dari tengah dengan hantaran-hantaran jauh sementara Fabregas melancarkan serangan MU menerusi lorongan bola.

Secara tidak langsung, kebolehan Kagawa yang beraksi cemerlang di belakang penyerang utama sepertimana ketika di Borussia Dortmund (BD) dapat dijelmakan semula di MU untuk musim hadapan. Pengurus BD, Klopp sebelum ini sedikit kecewa dengan taktikal MU yang meletakkan Kagawa di sebelah kiri dan bukannya di belakang penyerang sekaligus memberikan kesan kepada permainan Kagawa.

Setakat ini, MU akan menerima kehadiran dua pemain baru iaitu Zaha dan Varela. Zaha dilihat mampu untuk menajamkan semula sengat MU di bahagian sayap kerana Zaha memiliki larian yang pantas di samping kemahiran bola yang baik. Corak permainan mudah Zaha juga menjadi aset yang cukup bernilai buat MU pada musim hadapan.

http://e2.365dm.com/13/06/660x350/Guillermo-Varela_2955853.jpg?20130607111408
Varela - permata baru MU

Varela pula dibeli bagi memperkuatkan pertahanan MU memandangkan Ferdinand, Vidic dan Evra sudahpun melepasi usia 30 tahun. Walaupun Ferdinand boleh dikatakan mempunyai musim yang cukup cemerlang pada musim lepas, tetapi Ferdinand masih lagi dikhuatiri mengalami kecederaan belakang. Sepertimana Ferdinand, Vidic juga mengalami sedikit masalah kecergasan akibat mengalami kecederaan yang mengambil masa lama untuk sembuh. Prestasi Evra tampak sedikit merosot tatkala usia yang semakin meningkat.

Jadi, Evra kemungkinan besar akan dilepaskan jika kelab lamanya, Monaco benar-benar ingin mendapatkan semula Evra. Ferdinand dan Vidic mungkin akan diturunkan secara berkala pada musim hadapan bagi memberikan ruang kepada pertahanan muda seperti Jones, Smalling dan Evans untuk beraksi. Rafael, Fabio, Buttner dan Varela dilihat akan bersaing bagi mengisikan slot di pertahanan tepi.

MU juga dikatakan sedang berunding dengan Chevrolet dan Nike bagi menyediakan dana secukupnya untuk mendapatkan semula khidmat CR dari Real Madrid. Nike pastinya bersedia menyediakan dana yang besar kerana ingin memastikan CR menjadi modelnya memandangkan ketika CR sebagai pemain Real Madrid menyarung jersi berjenama Adidas.

Kemasukan CR pastinya menjanjikan sesuatu yang amat mengancam buat MU. Walaupun tiada lagi SAF sebagai pengurus, MU tampak lebih garang bagi persediaan mengekalkan kejuaraan BPL yang dimenangi musim lalu dan menunjukkan kesungguhan bagi bersaing dalam UCL.

Apa yang kurang enak adalah khabar angin mengatakan DM ingin membawa Jagielka ke MU. Bukan hendak menafikan kebolehan Jagielka, tetapi barisan pertahanan MU sekarang terutamanya pertahanan tengah agak mantap. Namun, pembelian Baines adalah amat dialu-alukan kerana Baines bukan sahaja berkesan ketika bertahan, malah cemerlang dalam membantu serangan terutamanya melalui senjata utamanya iaitu hantaran lintang yang bagus.

Rooney ternyata menjadi masalah besar buat DM. Namun jika terdapat tawaran denga harga yang menarik, Rooney seharusnya dilepaskan walaupun telah bersama dengan MU selama lapan musim. Persembahan Rooney pada musim lepas dirasakan tidak setimpal dengan bayaran gaji yang diterimanya. Ini sekaligus menjadi beban buat MU kerana terpaksa menanggung pemain yang bergaji tinggi tetapi prestasinya berada di tahap yang tidak sepatutnya.

Dengan skuad sedia ada, di samping penambahan dua pemain muda iaitu Zaha dan Varela, MU dilihat masih mampu untuk mengekalkan kejuaraan BPL. Walaubagaimanapun, kekuatan skuad tersebut masih kurang buat MU untuk bersaing di UCL. Jadi, pembelian pemain-pemain hebat seperti CR, Fabregas dan Lewandowski dapat menjadikan MU sebagai pasukan yang mampu bersaing bukan sahaja dalam BPL malah cemerlang dalam UCL pada musim hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan