Isnin, 26 Ogos 2013

Rugi tak menang


Kedah melepaskan kelebihan beraksi di halaman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Perak dalam perlawanan kedua Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2013. Sepertimana ketika bertemu Lions XII, Kedah sekali lagi memerlukan sepakan penalti di penghujung babak permainan bagi mendapatkan gol penyamaan yang dijaringkan oleh Guc.

Dengan promosi yang begitu hebat oleh KFA terutamanya dalam media sosial internet, FB selain kecintaan terhadap bola sepak, SDA dikatakan padat dibanjiri oleh peminat hijau kuning. Apa yang diharapkan adalah Kedah mampu untuk mengutip tiga mata penuh selepas berjaya mengikat Lions XII di Singapura.

Kedah berupaya menciptakan beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal menyempurnakannya. Permainan Kedah dilihat sedikit longgar berbanding ketika ditunjukkan menentang Lions XII. 

Perak ternyata lebih bijak apabila menjaringkan gol terlebih dahulu. Kedah tampak mempunyai kelemahan di bahagian pertahanan dan ini memerlukan penambahbaikan segera bagi mengelakkan Kedah terus dibolosi dengan mudah sepertimana yang dilakukan oleh Perak.

Perlawanan seterusnya akan sekali lagi berlangsung di SDA di mana Kedah akan melayan Sarawak yang mencipta kejutan menewaskan Juara Liga Super, Lions XII di Kuching. Kedah seharusnya tidak mempersia-siakan kelebihan di halaman sendiri yang pastinya bakal mendapatkan sorakan daripada ribuan peminat bagi mengutip tiga mata penuh pertama. Kemenangan ke atas Sarawak akan membuka ruang untuk Kedah layak ke suku akhir walaupun terpaksa bersaing dengan pasukan yang tampak lebih kuat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan