Isnin, 5 Ogos 2013

Jadi lagu mana dah MU lani


MU terus-menerus dikaitkan dengan perpindahan Fabregas ke Old Trafford. Namun, berdasarkan berita terbaru, Barcelona mengatakan MU sudah bersedia untuk mengalah dalam usahanya mendapatkan Fabregas. Ianya berita yang agak bertentangan dengan kenyataan pengurus baru Barcelona, Tata Martino yang mengatakan keputusan untuk berpindah terletak di tangan Fabregas sendiri.

Mungkin telah melakukan analisa terhadap skuad sedia ada, DM sememangnya mengakui bahawa MU memerlukan pemain tengah yang berkaliber bagi memperkuatkan bahagian tengah. Fabregas menjadi sasaran MU selepas kegagalan mendapatkan Thiago yang menyertai Bayern Munich. Dengan pengalaman yang dimiliki, Fabregas dilihat mampu menjadi nadi utama MU dan sesuai untuk beraksi di samping Carrick mengemudikan bahagian tengah MU.

Fellaini juga sedikit sebanyak menjadi buah mulut peminat MU untuk menyarung jersi 'Red Devil' musim hadapan. Walaupun kerap beraksi selaku 'back-up' kepada penyerang di Everton, Fellaini kerap menyatakan bahawa posisi terbaik buat dirinya adalah sebagai 'defensive midfielder'. Keupayaan Fellaini tidak dapat disangkalkan kerana Fellaini telah membuktikannya ketika perlawanan pembukaan BPL musim lepas di mana Everton menumpaskan MU tatkala Fellaini mudah mengatasi cabaran bahagian tengah MU.

Pada aku, kehadiran Fellaini ke MU mampu untuk memberikan 'kekerasan' kepada bahagian tengah MU di samping kelebihan ketinggian ketika situasi bola mati. Fellaini mampu untuk menguasai kawasan tengah padang dan ini dapat memberikan lesen kepada Carrick untuk menumpukan perhatian terhadap menjana serangan.

MU turut dikatakan mempunyai pelan lain jika gagal mendapatkan Fabregas di mana MU akan cuba memancing Schweinsteiger yang tampak perlu bersaing dengan Thiago dan Gotze bagi merebut kesebelasan utama Bayern Munich musim hadapan. Berdasarkan situasi semasa, Guardiola diberikan bersedia untuk merombak kesebelasan utama Bayern Munich dengan mengetepikan beberapa pemain utama yang menyinar musim lepas bagi memberikan laluan kepada pemain-pemain baru. Antara pemain Bayern Munich yang sedang mencari destinasi terbaru adalah Luis Gustavo yang kedudukannya jauh terkebelakang dalam senarai pemain tengah.

Walaubagaimanapun, timbul spekulasi mengatakan berita perpindahan Fabregas ke MU sengaja diperbesar-besarkan bagi membayangi usaha yang cuba dilakukan oleh MU untuk mendapatkan Ronaldo dari Real Madrid. MU berusaha bagi mengembalikan Ronaldo ke Old Trafford selepas mengetahui Real Madrid benar-benar berminat untuk mendapatkan khidmat Bale.

Dengan kedua-duanya mempunyai corak permainan yang sama, agak sukar untuk Ronaldo dan Bale beraksi dalam satu pasukan. Jadi, ini memberikan sedikit peluang buat MU untuk menjalankan usaha mendapatkan persetujuan Real Madrid untuk melepaskan Ronaldo ke MU. Kemasukan semula Ronaldo pastinya akan memperkuatkan MU terutamanya di bahagian serangan bahkan menaikkan semangat para penyokong MU bagi saingan musim hadapan.

DM juga dilihat mampu untuk membentuk seseorang pemain menjadi hebat, sepertimana yang dilakukan kepada Cahill, Fellaini dan sebagainya. Jadi, aku merasakan Anderson dan Cleverley mampu mempertingkatkan prestasi masing-masing di bawah didikan DM seterusnya dapat memberikan sumbangan yang cukup berkesan buat MU.

Anderson baru-baru ini kelihatan sedikit kurus dan menunjukkan persembahan yang cukup bertenaga. Jika Anderson boleh mengekalkan prestasi sebegini, tidak mustahil Anderson mampu untuk menyinar dan menempatkan diri dalam kesebelasan utama MU musim hadapan.

Jika semua perpindahan menjadi kenyataan, aku menjangkakan kesebelasan utama MU adalah seperti berikut:

De Gea/Lindegaard/Amos

Rafael/Smalling/Varela - Ferdinand/Vidic - Evans/Jones - Evra/Buttner/Fabio

Fabregas/Fellaini/Anderson/Cleverley - Carrick/Giggs

Nani/Zaha/Valencia - Ronaldo/Kagawa - Rooney/Young

van Persie/Chicharito/Welbeck/Lingard

Tiada ulasan:

Catat Ulasan