Isnin, 19 Ogos 2013

Review: MU vs Swansea City (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 4
v. Persie 34', 72'
Welbeck 36', 90+2'

SWANSEA CITY 1
Bony 82'



Pemain terbaik perlawanan:

ROBIN VAN PERSIE


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Rooney >> Giggs
Anderson >> v. Persie


Ulasan perlawanan:

MU memulakan saingan BPL musim 2013/2014 dengan langkah kanan apabila berjaya mengutip tiga mata penuh dari Wales dengan mengetepikan cabaran Swansea City (SC) dengan kemenangan bergaya 4-1. 

RVP sekali lagi memainkan peranannya dengan berkesan apabila meledakkan dua gol dan membolehkan dirinya memperoleh empat gol dari dua perlawanan musim ini. Welbeck pula ternyata gembira dengan dua golnya dalam perlawanan sulung BPL ini sekaligus memperbaiki rekod jaringan musim lepasnya di mana Welbeck hanya mampu mendapatkan satu gol dalam BPL.

Kemenangan 4-1 yang dicatatkan oleh MU bukanlah satu keputusan yang menunjukkan bahawa MU benar-benar beraksi cemerlang. Tetapi lebih kepada ketajaman bahagian serangan MU yang berjaya menyempurnakan peluang menjaringkan gol. Ini adalah kerana MU kalah kepada SC dari segi penguasaan bola sepanjang perlawanan berlangsung.

DM menurunkan kesebelasan utama MU dengan formasi 4-2-3-1 dengan menaruhkan kepercayaan kepada gandingan senior Ferdinand dan Vidic berada di hadapan DDG. Seperti dijangkakan, Jones akan mengambil posisi Rafael di pertahanan kanan manakala Evra berada di pertahanan kiri.

Carrick dan Cleverley menjadi peneraju di bahagian tengah MU dan berfungsi untuk memberikan bantuan kepada Welbeck, Valencia dan Giggs menggerakkan serangan. RVP pula menjadi penyerang tunggal MU bagi merobek pertahanan SC.

SC berjaya mendapatkan rentak permainan sebaik sahaja perlawanan dimulakan dengan mempamerkan hantaran kemas. MU bernasib baik kerana SC tidak memiliki ketajaman di bahagian serangan selain kekentalan yang ditunjukkan oleh Vidic dan Ferdinand. Michu yang berjaya menjaringkan dua gol dengan MU pada musim lepas dirantai dengan begitu kemas oleh Vidic.

MU memerlukan lebih dari 30 minit perlawanan bagi memecahkan kebuntuan apabila RVP bijak menampan umpanan menarik Giggs sebelum membuat rembatan menarik melepasi jangkauan Vorm. MU selepas itu tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol kedua apabila RVP berjaya mengucar-kacir pertahanan SC membuka ruang kepada Valencia untuk meghantar bola ke hadapan pintu gol SC sebelum Welbeck mudah menolak masuk bola.

Separuh masa kedua menyaksikan MU beraksi dengan sedikit longgar dan ini memberikan ruang kepada SC untuk menggandakan asakan. Pertahanan MU terus kental bertahan sehinggalah Welbeck melakukan kesilapan apabila cuba menggelecek tatkala MU sedang bertahan menghadapi serangan SC. Welbeck kehilangan bola seterusnya memberikan ruang kepada Bony untuk meloloskan diri sebelum membuat rembatan leret menewaskan DDG.

DM melakukan pertukaran pemain dengan menggantikan Giggs dengan Rooney. Kemasukan Rooney menambahkan sengat bahagian serangan MU dan hasilnya MU memperoleh gol ketiga selepas Rooney menghantar bola kepada RVP yang kemudiannya membuat larian yang mengelirukan pertahanan SC. Peluang tersebut dipergunakan oleh RVP yang bijak melepasi kawalan seorang pertahanan SC dan merembat deras bola ke dalam gol.

Welbeck menamatkan persembahan baik MU dengan gol keempat menerusi 'chipping' menarik selepas menerima hantaran Rooney. DM kini mampu menarik sedikit nafas lega kerana berjaya mengharungi perlawanan sulung MU dalam BPL dengan cemerlang. Yang pasti, MU memerlukan seorang pemain tengah yang baik bagi memperkuatkan lagi bahagian tengah MU yang tampak sedikit tertekan walaupun berhadapan dengan SC.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan