Isnin, 30 Januari 2012

Review: MU vs Liverpool - FA Cup


Keputusan perlawanan:

Manchester United 1
Park Ji Sung 39'

Liverpool 2
Daniel Agger 21'
Dirk Kuyt 88'


Ulasan perlawanan:

Liverpool meneruskan rentak kemenangan dalam saingan piala apabila sekali lagi menumpaskan kelab dari kota Manchester iaitu MU dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA. Sebelum ini, Liverpool telah menewaskan Man City dalam aksi separuh akhir sekaligus melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Carling.

MU seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila penguasaan besar permainan yang dimiliki gagal diterjemahkan kepada peluang untuk menghasilkan gol. Ini adalah kerana Liverpool bermain dengan baik terutamanya di bahagian pertahanan yang berjaya menghalang dan mengekang pergerakan MU. Selain itu, keberanian pengurus Liverpool, Kenny Daglish untuk merombak pasukan dengan menukarganti pemain membuahkan hasil yang cukup menggembirakan.

MU kelihatan agak tertekan setiap kali Liverpool memperoleh sepakan sudut akibat kerap kali kelam kabut ketika menangani situasi bola tinggi. Kelemahan tersebut yang sebelum ini dieksploitasikan oleh Newcastle United telah dipergunakan oleh Liverpool memandangkan penyerang mereka, Andy Carroll bijak mengucar-kacirkan pasangan pertahanan tengah MU iaitu Evans dan Smalling.

Ketiadaan Rooney dalam kesebelasan utama MU akibat kecederaan turut menjejaskan serangan MU. Welbeck yang bertindak selaku penyerang tunggal tidak berupaya untuk menembusi kawalan ketat pertahanan Liverpool dan menjadikan serangan MU tumpul. Walaubagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Welbeck kerana sekurang-kurangnya beliau menunjukkan kerajinannya untuk mendapatkan hantaran daripada rakan sepasukan.

Walaupun agak sukar untuk menumpaskan Liverpool di Anfield, MU sepatutnya boleh mencatatkan keputusan seri 1-1 dan mengadakan semula perlawanan ulangan di OT. Namun, sedikit kelalaian oleh Evra yang lambat menghidu larian pantas Kuyt menyebabkan MU tersungkur dalam saingan Piala FA musim ini. Gol pertama Liverpool juga menunjukkan DDG masih lagi belum berkeyakinan serta gagal mengambil keputusan sewajarnya dalam menghadapi situasi bola mati seperti sepakan sudut.

Selepas ini, MU perlu mengalihkan tumpuan hanya kepada Liga Eropah dan BPL sahaja. Dua peluang untuk menjulang piala ini harus dipergunakan dengan sebaik mungkin oleh MU sekiranya tidak ingin merasai kemarau piala. Episod sedih yang dialami di Anfield mungkin dapat menjadi pemangkin dan pembakar semangat buat MU bagi terus bersaing dengan Man City bagi kejuaraan BPL. 


Pemain terbaik perlawanan:

Daniel Agger

Tiada ulasan:

Catat Ulasan