Manchester United 2
Antonio Valencia 45+2'
Danny Welbeck 81'
Arsenal 1
Robin van Persie 71'
Ulasan perlawanan:
Mengetahui bahawa Man City menewaskan Tottenham Hotspurs dalam perlawanan terdahulu telah memberikan tekanan kepada MU untuk mencatatkan kemenangan di Stadium Emirates. MU berjaya mengatasi tekanan tersebut apabila memperoleh tiga mata penuh selepas menumbangkan Arsenal dengan keputusan 2-1 seterusnya mengekori rapat Man City dengan jurang perbezaan tiga mata sahaja.
SAF terpaksa melakukan sedikit perubahan terhadap kesebelasan utama MU terutamanya di bahagian pertahanan selepas mendapati Ferdinand gagal melepasi ujian kecergasan yang dilakukan sebelum sepak mula. Selain menggugurkan Rafael, SAF turut memilih untuk meletakkan Giggs sebagai pasangan Carrick di bahagian tengah.
Smalling kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan untuk bergandingan dengan Evans. Kedua-dua mereka menunjukkan prestasi yang baik apabila mengekang pergerakan penyerang Arsenal, RVP denga berkesan. Jones pula hanya bermain untuk tempoh masa yang singkat selepas terpaksa dikeluarkan akibat mengalami kecederaan. Rafael yang dimasukkan bagi menggantikan Jones cemerlang sepanjang perlawanan walaupun bekerja keras bagi menghalang larian deras AOC. Evra tidak banyak digugat kerana begitu berkesan mengekang pergerakan Walcott. Lindegaard tidak diuji dengan kerap oleh Arsenal dan hampir-hampir berjaya menepis percubaan RVP yang menghasilkan gol tunggal Arsenal.
Mungkin mengambil inspirasi daripada persembahan mantap Scholes pada perlawanan MU menentang Bolton Wanderers, Giggs memaparkan prestasi yang baik dengan merencanakan pergerakan MU. Peranan Giggs bertambah berkesan apabila dibantu oleh Carrick yang bermain dengan tenang dan bijak menyekat penguasaan bahagian tengah Arsenal.
MU mempergunakan sepenuhnya kepantasan larian Valencia untuk merobek pertahanan Arsenal. Hasilnya Valencia menjaringkan gol pertama MU selepas menyelinap untuk berada di belakang Vermalaen bagi menanduk bola umpanan Giggs. Nani juga cemerlang untuk membuat asakan dari sebelah kiri yang menyebabkan Djourou begitu tertekan pada separuh masa pertama. Arsene Wenger akhirnya mengambil keputusan untuk mengeluarkan Djourou pada separuh masa kedua kerana tidak berpuas hati dengan persembahan Djourou.
Walaupun tidak mencatatkan nama sebagai penjaring gol, namun Rooney memberikan sumbangan bermakna apabila beraksi di belakang Welbeck. Ini adalah kerana Rooney bijak menjadi penghubung di antara bahagian tengah MU dengan Welbeck serta membuka permainan MU. Welbeck harus diberikan pujian kerana rajin berusaha dan berupaya mengucar-kacirkan pertahanan Arsenal. Welbeck pantas menyambut hantaran Valencia untuk merembat bola masuk ke dalam gawang gol Arsenal untuk gol kedua MU selepas berlaku kekalutan dalam kotak penalti.
Gol yang dijaringkan oleh Welbeck itu terus mematahkan semangat pemain Arsenal yang sebelum itu begitu bersungguh-sungguh mengancam pintu gol MU selepas memperoleh gol penyamaan daripada RVP. Gol RVP berpunca daripada larian bijak AOC yang pantas membuat lorongan kepada RVP sebelum RVP merembat deras melepasi jangkauan Lindegaard.
MU terus bertahan dengan kelebihan satu gol sehingga wisel penamat dibunyikan. Kemenangan tersebut begitu penting buat MU kerana membolehkan MU terus memberikan tekanan kepada Man City yang menerajui carta BPL. Sepertimana yang dikatakan oleh SAF, kemenangan ke atas Arsenal bakal menjadi pemangkin kepada kebangkitan MU untuk memburu kejuaraan BPL musim ini serta memberikan impak yang besar kepada keupayaan MU untuk bersaing dalam dua lagi pertandingan iaitu Piala FA dan Liga Eropah.
Pemain terbaik perlawanan:
Antonio Valencia
Gambar perlawanan:
Valencia menanduk bola masuk ke dalam gawang gol Arsenal untuk gol pertama MU
Rembatan RVP yang tersasar walaupun pintu gol terbuka luas
RVP menjaringkan gol tunggal Arsenal menerusi rembatan cantik selepas menerima umpanan AOC
Welbeck meraikan gol kemenangan MU yang dijaringkannya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan