Ahad, 22 Januari 2012

Preview: MU vs Arsenal


MU bakal berhadapan tugas berat apabila berkunjung ke Stadium Emirates bagi saingan BPL hujung minggu ini. Ramai peminat berpendapat bahawa Arsenal pastinya ingin membalas dendam atas kekalahan besar 2-8 yang dialami di tangan MU di awal musim ini. 

Walaubagaimanapun, beberapa pemain utama MU terpaksa diketepikan akibat mengalami kecederaan. Yang terbaru adalah Ferdinand yang kembali merasai sakit di bahagian belakangnya sekaligus menyebabkan dirinya tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama MU tengah malam nanti. Selain Ferdinand, Anderson dan DDG juga tidak dapat beraksi. Sepertimana Ferdinand, Anderson mengalami kecederaan ketika menjalani latihan. DDG pula terpaksa menjalani pembedahan laser untuk merawat sedikit kecederaan di bahagian matanya.

Berdasarkan kebolehsediaan pemain dan taktikal yang akan digunakan, SAF mungkin akan menerapkan formasi 4-3-3 bagi berhadapan dengan Arsenal. Formasi ini telah digunapakai oleh SAF beberapa kali ketika bertemu Arsenal dan membuahkan hasil yang positif. Ini adalah kerana formasi ini memberikan sedikit kelebihan ketika bertahan dan mengimbangi bahagian tengah tetapi mengurangkan ancaman di bahagian serangan. Namun begitu, tiga penyerang yang digunakan dapat mengekploitasikan kepantasan ketika membuat serangan balas.

Lindergaard terus memperoleh kepercayaan SAF untuk menjaga gawang MU buat kali keempat berturut-turut. Ketiadaan DDG membolehkan Lindegaard membuktikan keupayaannya terhadap SAF. Oleh kerana Ferdinand tidak dapat beraksi, Smalling dan Evans akan berpasangan di bahagian pertahanan tengah dan mereka akan diapit dengan Jones dan Evra yang bertindak di posisi fullback.

Aku menjangkakan Scholes sekali lagi menjadi pilihan SAF untuk bermula dalam kesebelasan utama berbanding Giggs. Scholes akan bergandingan dengan Carrick dan PJS di bahagian tengah. Carrick dan Scholes akan bermain dengan duduk di kawasan tengah dan mengharapkan kudrat PJS dalam mengekang pergerakan pemain tengah Arsenal.

Di bahagian serangan pula, Rooney akan bermain secara keseorangan kerana Welbeck terlepas daripada beraksi kerana mengalami sedikit kecederaan di bahagian buku lali. Rooney akan dibantu oleh Valencia dan Nani bagi merobek benteng pertahanan Arsenal yang kelihatan agak rapuh terutamanya di posisi fullback. MU dirasakan dapat mengucar-kacirkan pertahanan Arsenal menerusi larian deras Nani dan Valencia.

Berdasarkan prestasi semasa dan barisan pemain yang akan diturunkan oleh kedua-dua pasukan, aku menjangkakan perlawanan yang seimbang berbanding perlawanan yang agak berat sebelah ketika aksi di OT. MU mungkin dapat mencatatkan kemenangan di Stadium Emirates jika boleh mengekang dan menghadkan pergerakan pemain Arsenal. Aku merasakan MU dapat mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Arsenal tengah malam ini dengan Rooney dan Valencia menjaringkan gol buat MU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan