Khamis, 15 Ogos 2013

Lani depa pakat duk ada katna


Al-kisah penyerang yang cuba dirungkaikan

LUIS SUAREZ


Nampak seperti akan terus kekal di Liverpool. Sebelum ini, Suarez menjadi rebutan antara Arsenal dan Real Madrid. Arsenal mensasarkan Suarez kerana ingin mempunyai penyerang berbisa memandangkan penyerang sedia ada seperti Walcott dan Giroud gagal menunjukkan ketajaman di hadapan pintu gol lawan. Real Madrid pula berkeinginan untuk mendapatkan Suarez bagi mengisi posisi yang ditinggalkan oleh Higuain. Suarez bukan sahaja mampu untuk menjaringkan gol, malah memiliki kemahiran gelecekan bola yang baik serta bijak membuka ruang kepada rakan-rakan untuk melancarkan serangan.


WAYNE ROONEY


Rooney sepatutnya diharapkan oleh SAF meningkatkan prestasinya dengan menunjukkan kesefahaman yang baik beraksi bersama RVP. Namun begitu, Rooney gagal mempamerkan aksi yang cukup memberangsangkan dan mengakibatkan Rooney tersisih dari kesebelasan utama MU. Chelsea mempunyai minat yang mendalam terhadap Rooney tetapi MU pastinya tidak ingin menjual Rooney kepada kelab yang akan mencabar MU untuk menjuarai BPL. Peminat MU dikatakan masih berbelah bahagi sama ada bersetuju atau tidak Rooney melangkah keluar dari MU memandangkan Rooney baru berusia 27 tahun dan berkemungkinan besar akan mencapai tahap prestasi sebenar sedikit masa lagi.


GONZALO HIGUAIN


Higuain turut menjadi sasaran Arsenal walaupun pada akhirnya memilih Napoli sebagai destinasi terbarunya. Higuain dilihat mempunyai kemahiran yang hampir sama seperti Suarez dan kehadirannya ke Napoli diharapkan dapat mengisikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Cavani. Higuain dijangkakan akan menjadi penjaring utama Napoli berdasarkan barisan tengah Napoli yang mantap diketuai oleh Hamsik.


EDINSON CAVANI


Cavani memilih untuk menyertai juara Ligue 1, PSG selepas meninggalkan Napoli. Cavani boleh dianggap antara penyerang berbahaya di dunia kerana bukan sahaja mempunyai rembatan deras sama ada kaki kiri atau kanan, malah memiliki susuk tubuh yang tinggi, sesuai bagi situasi bola tinggi. Ini menjadikan Cavani cukup berbisa di hadapan pintu gol lawan.


RADAMEL FALCAO


Nama Falcao sudah lama melonjak ketika bersama Porto lagi. Tetapi, sumbangannya untuk Atletico Madrid menjadikan dirinya cukup terkenal sehinggakan beberapa kelab bersaing untuk mendapatkan Falcao pada musim panas ini. Walaubagaimanapun, mungkin ingin mengubah angin di samping bayaran yang tinggi, Falcao akan menyarung jersi Monaco yang menjadi pendatang baru Ligue 1 musim terbaru ini. Selain Falcao, Monaco telah berbelanja besar untuk mendapatkan Joao Moutinho dan James Rodriguez sebagai persediaan untuk mencabar PSG baru kejuaraan Ligue 1 selepas tersingkir ke divisyen bawahan musim lepas.


FERNANDO LLORENTE


Selepas menghabiskan lebih kurang lapan tahun bersama Athletic Bilbao, Llorente akhirnya berpindah ke Itali untuk menyertai juara Serie A, Juventus secara percuma. Llorente pernah menarik minat beberapa kelab besar seperti MU beberapa musim lepas tetapi pembelian RVP melenyapkan terus minat MU terhadap Llorente. Llorente dijangkakan akan bersaing dengan Higuain bagi perebutan kasut bola emas Serie A musim terbaru ini.


CARLOS TEVEZ


Juventus boleh dikatakan bijak membelanjakan wang apabila berjaya mendapatkan Tevez dengan harga yang cukup berpatutan. Belumpun mencecah 30 tahun, Tevez masih lagi berupaya menampilkan prestasi di tahap terbaik untuk beberapa musim lagi. Kerajinan Tevez pastinya ditagih oleh Juventus dan bakal menjadi pasangan kepada Llorente di bahagian serangan Juventus.


ROBERT LEWANDOWSKI


Lewandowski akan kekal di Borussia Dortmund untuk semusim sahaja lagi dan akan berkemungkinan besar akan menyertai Bayern Munich secara percuma selepas kontraknya tamat. Ini adalah kerana naib juara UCL musim lepas tidak mahu menjual kepada Bayern Munich walaupun terdapatnya bidaan. Lewandowski merupakan penyerang yang bagus setelah membuktikan kemampuannya dengan meledakkan hatrik ketika Borussia Dortmund menewaskan Real Madrid pada musim lepas.


CRISTIANO RONALDO


Ronaldo hangat diperkatakan akan menyertai semula MU pada musim panas ini. Walaubagaimanapun, perpindahan tersebut masih belum direalisasikan dan Real Madrid juga diberitakan bersedia untuk menawarkan kontrak baru yang bernilai tinggi kepada Ronaldo bagi menghalang usaha MU untuk mendapatkan Ronaldo. Selaku antara penyerang terbaik dunia, Ronaldo dilihat mampu memperkuatkan mana-mana pasukan kerana berdasarkan statistik golnya, Ronaldo berjaya menjaringkan gol pada setiap minit kecuali minit ke-47.


SAMUEL ETO'O


Eto'o diberitakan bersedia untuk dilepaskan oleh Anzhi Makhachkala setelah kelab tersebut berhasrat untuk melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuadnya. Ini adalah kerana Anzhi Makhachkala merasakan mereka telah menghabiskan wang yang banyak untuk membayar yuran perpindahan dan gaji pemain tetapi gagal mendapatkan pulangan yang setimpal. Walaupun kini berusia 32 tahun, Eto'o mampu untuk memberikan sumbangan sekurang-kurangnya dua musim lagi dan dengan harga yang murah, menjadikan Eto'o sasaran buat beberapa kelab seperti Chelsea.


STEVAN JOVETIC


Pernah dikaitkan dengan MU sewaktu usia muda, Jovetic akhirnya akan beraksi di BPL selepas menyertai Man City baru-baru ini. Jovetic menjadi peledak utama Fiorentina selama hampir lima musim dan kini akan bergandingan dengan Aguero di bahagian serangan Man City.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan