Isnin, 27 Mei 2013

Ulasan Keseluruhan BPL 2012/2013 - PART II


Sambungan untuk Part II.

Norwich City mencipta kenangan manis apabila menamatkan saingan BPL musim ini di tangga ke-11. Prestasi tersebut adalah sesuatu yang membanggakan memandangkan Norwich City merupakan salah satu pasukan yang berjaya melayakkan diri ke BPL dari Liga Kejuaraan. Kemenangan 1-0 ke atas MU pastinya menjadi sesuatu yang sukar dilupakan oleh para peminat Norwich City.

Pada pertengahan musim, Fulham mampu untuk berada di kelompok 10 kelab teratas tetapi kemerosotan prestasi ketika penghujung saingan BPL musim ini menyaksikan Fulham terpaksa berpuas hati dengan berada di tangga ke-12. Kehadiran Berbatov berjaya menguatkan bahagian serangan Fulham selepas ketiadaan Dempsey dan Dembele. Selain itu, Riether yang dipinjamkan dari kelab Jerman, FC Koln turut menyinar dan akan menjadi pemain Fulham secara tetap pada musim hadapan.

Stoke City masih lagi mampu untuk bersaing dalam BPL walaupun mengalami kemerosotan prestasi beberapa ketika sepanjang musim berlangsung. Walters berjaya memainkan wataknya selaku penyerang utama Stoke City walaupun terpaksa bersaing dengan Crouch, Owen dan Jerome. Walaubagaimanapun, Stoke City akan mempunyai pengurus baru untuk musim hadapan selepas Tony Pulis melepaskan jawatan tersebut gara-gara tidak bersependapat dengan pemilik kelab.

Tiga kelab berkongsi mata yang sama iaitu Southampton, Newcastle United dan Aston Villa di mana masing-masing mengutip 41 mata. Selepas beberapa lama berada di zon penyikingkiran, Southampton memperbaiki kedudukan selepas mendapatkan khidmat pengurus baru, Pochettino. Penyerangnya, Lambert menjadi pemain berasal dari England yang berjaya menjaringkan gol terbanyak.

Aston Villa pula yang boleh dikatakan dibarisi sebahagian besar pemain muda boleh dianggap berjaya apabila mengekalkan status sebagai kelab BPL. Walaupun tidak begitu ternama, Benteke mampu untuk menafikan peluang kepada Bent seterusnya menjadi penyerang yang cukup berbisa dalam BPL. Weimann juga cemerlang dalam membantu Aston Villa untuk terus kekal dalam BPL musim hadapan.

Newcastle United mengalami kemerosotan prestasi yang amat ketara sejak pertengahan musim sehinggalah tamatnya saingan BPL musim ini. Newcastle United yang pada awalnya berjaya berada di kelompok enam kelab teratas tetapi oleh kerana kecederaan yang menimpa dan prestasi yang kurang memberangsangkan di kalangan pemain seperti Tiote, Cabaye, Ben Arfa dan Cisse menyebabkan Newcastle United terpaksa bergelumang dengan cabaran di zon penyingkiran sebelum boleh menarik nafas lega.

Di Canio yang dilantik tatkala saingan BPL berbaki kurang dari 10 perlawanan sahaja berjaya membolehkan Sunderland selamat daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan musim hadapan. Sunderland boleh dikatakan memiliki pemain-pemain yang bagus seperti O'Shea, Sessegnon dan Johnson tetapi gagal menterjemahkannya kepada persembahan yang bertenaga di atas padang.

Wigan Athletic ternyata kecewa apabila tersingkir dari BPL walaupun menjulang kejuaraan Piala FA musim ini. Masalah utama Wigan adalah ketiadaan penyerang yang bagus dan konsisten. Selain itu, barisan pertahanan yang kerap melakukan kesilapan menyebabkan Wigan gagal mendapatkan keputusan yang positif apabila berhadapan dengan kelab di kelompok bawahan walaupun sebaliknya mendapatkan keputusan lebih baik setiap kali menentang kelab besar.

Reading dan QPR harus menyalahkan diri masing-masing atas kegagalan tersingkir ke Liga Kejuaraan musim hadapan. Reading tidak mempunyai skuad yang cukup besar untuk bersaing dalam BPL gara-gara sumber kewangan yang terhad manakala QPR pula gagal beraksi dalam satu pasukan memandangkan terlalu ramai pemain mementingkan diri sendiri. Kehadiran Redknapp yang menggantikan Hughes tidak banyak memberikan kesan kepada QPR yang dilihat berbelanja besar di awal musim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan