Rabu, 8 Mei 2013

Off topic: Satu Analisis - Pakatan tumbang oleh undi Melayu di Kedah


Beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan, saya dan beberapa penggerak isu semasa di Kedah dipanggil oleh Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar. Kami meneliti meneliti sebuah kajiselidik yang dijalankan oleh sebuah badan professional. Perihal di seluruh negara, secara umumnya sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat merosot sebanyak empat peratus berbanding enam bulan sebelumnya.
http://4.bp.blogspot.com/-LEqP_wqHSNE/UBDaDODcsPI/AAAAAAAAAsU/Fbn1yvQiNr8/s1600/PASKedahTumbang+Pas+Celaka+Pas+jual+agama+PAS+pis+pus.jpg
Apa yang mengejutkan dalam kajian tersebut ialah kemerosotan sokongan Melayu terhadap Pakatan berlaku paling teruk di Kedah, iaitu sebanyak 9 peratus! Jika pada September 2012 sokongan Melayu untuk Pakatan ialah 53 peratus, namun Mac 2013 sokongan merosot tinggal 44 peratus sahaja. Mengikut kajian tersebut, kerusi DUN yang mampu dimenangi oleh Pakatan Rakyat di Kedah cuma 14. Mahfuz melahirkan kebimbangan Pakatan akan kalah di Kedah jika perkara tersebut tidak berjaya diatasi.
Berikutnya, Penerangan PAS Kedah mengambil tanggungjawab menghimpunkan semua tenaga penerangan bagi memberi taklimat khusus menangani isu kemerosotan sokongan Melayu.
Datuk Mahfuz Omar ketika membentangkannya menjelaskan, antara faktor utama kemerosotan sokongan Melayu ialah pemberian BR1M 2.0. Namun di Kedah, katanya, terdapat faktor-faktor khusus yang menambah penolakan terhadap Pakatan. Isu terbesarnya ialah 'penebangan balak secara rakus'. Kali pertama dalam sejarah negara, isu alam sekitar mendapat perhatian dari masyarakat Melayu. Isu lain ialah kepimpinan PAS yang dilihat berpecah dan kemelut Kolej Universiti Insaniah. Maknanya, isu khusus dalam pentadbiran Kedah yang menyumbang penolakan orang Melayu terhadap kerajaan negeri. Soal sama ada kerajaan benar-benar gagal adalah persoalan lain, namun BN yang menguasai segenap media berjaya membina persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan negeri.
Di samping tenaga penerangan peringkat negeri diperjelaskan mengenai isu-isu tersebut untuk ditangani, Penerangan Negeri turun hingga ke kawasan memberi taklimat.
Kebimbangan tersebut pernah saya catatkan di ruangan ini, menjelang hari pembubaran Parlimen. 
Berikut antara petikannya;
"Secara jujur saya sempat mengikuti hasil kajiselidik yang menampakkan Pakatan menghadapi sedikit masalah di kawasan majoriti Melayu dan sebaliknya di kawasan pengundi bercampur. Jangan fikir bahawa isu BR1M, pembalakan, kalimah Allah, DAP, Kristian, kenyataan Nurul Izzah mengenai kebebasan beragama, Tian Chua dalam isu Lahad Datu - langsung tidak memberi bekas kepada pengundi Melayu. Ia berkesan sehingga berjaya melarikan 4 peratus sokongan Melayu!"
Selangor menjadi negeri Pakatan yang diserang bertalu-talu oleh media talibarut BN berbanding Kedah, namun sedikit mengejutkan kerana kedudukan Selangor menjadi jauh lebih baik dari Kedah, malah hampir pasti akan mengekalkan penguasannya dalam PRU13.
Situasi terkini menunjukkan bahawa Pakatan perlu bekerja berkali ganda di Kedah dalam usaha mempertahankan kerajaan negeri."
Memang jentera Pakatan Kedah telah bekerja berkali ganda dalam PRU ini dalam usaha mempertahankan kerajaan negeri Kedah. Namun terdapat isu yang perlu ditangani dengan penyelesaian atau gambaran penyelesaian, ia tidak berlaku. Ia tidak boleh dijelaskan melalui ceramah.
Isu ribuan penduduk Baling yang menghirup air keruh saban hari dari bekalan air masyarakat Gunung Inas tidak boleh dijelaskan di pentas pidato. Ia hanya selesai jika penduduk mendapat bekalan air bersih semula dan ia tidak mungkin berlaku apabila hutan digondolkan. Orang kampung tidak mahu tahu manfaat ladang rakyat, jika air yang menjadi keperluan asas mereka tercemar teruk.
Kemelut yang melanda KUIN, sebahagian besarnya melibatkan masalah kewangan. Pihak yang dipergunakan BN menyerang kerajaan negeri ialah sebahagian staf yang menghadapi masalah tersebut. Mereka kemukakan hujah berdasarkan fakta dan angka. Ia mampu mempengaruhi rakyat. 
Apabila mereka kemukakan cadangan penyelesaian, maka ia wajar diraikan oleh pihak kerajaan. Itu cara orang politik berpolitik, tampak lunak untuk menyelesaikan masalah. Sama ada cadangan itu hendak diikuti atau tidak itu persoalan nombor sepuluh. Tapi kalau cadangan yang dikemukakan ditolak mentah-mentah, "Hangpa sapa nak ajar orang?..." maka persepsi yang terbina di kalangan rakyat ialah kerajaan yang ada angkuh, tidak menghormati pandangan rakyat.
 Isu perpecahan dalaman yang tampak berlaku dalam PAS Kedah, bukanlah terlalu besar tetapi diperbesarkan oleh media BN, sehingga sekumpulan ahli biasa yang mengangkat sepanduk pun di siarkan di muka hadapan akhbar harian. Isu ini pun tidak boleh dijelaskan dalam ceramah tetapi melalui penyelesaian.
Isu peningkatan mendadak pusat hiburan sejak Pakatan mentadbir Kedah tidak boleh dijelaskan dalam ceramah. Rakyat tidak boleh menerima alasan itu kerja KCS yang meluluskan lesen kerana bagi mereka MB dan Exco lebih berkuasa. Selagi pusat hiburan itu tampak bersepah di depan mata, penjelasan apa sekalipun tidak membawa makna.
Orang Melayu termakan dengan isu-isu seperti itu. Maka akhirnya keputusan yang dibuat oleh sebahagian pengundi Melayu ialah menolak Pakatan di Kedah. Ia menjejaskan semua kerusi teras Melayu. Pakatan kalah di Kupang, Pantai Merdeka, Kuala Nerang, Pedu, Air Hitam, Belantik, Jeneri, Bukit Lada - yang kesemuanya pernah dimenangi oleh PAS.
Sementara 15 kerusi yang dimenangi Pakatan di Kedah diselamatkan oleh undi Cina iaitu Anak Bukit (10.56 %), Pengkalan Kundor (22.82 %), Kubang Rotan (27.3 %), Alor Mengkudu (23.96 %), Derga (38.78 %), Kota Darul Aman (61.88 %), Bukit Selambau (19.8%, I: 25.46%), Bakar Arang (41.33 %), Sidam (40.46 %), Kuala Ketil (6.75%, I: 10.58 %), Merbau Pulas (13.35 %, I: 18.80 %) dan Lunas (27.98 %).
Hanya tiga kerusi DUN yang mampu dimenangi Pakatan di kawasan pengundi teras Melayu iaitu Tokai (Melayu 90.88 %), Bukit Pinang (M 93.04 %) dan Sungai Limau (M 93.19 %).
Ada banyak perkara yang boleh dihuraikan mengapa keputusan tidak memihak kepada Pakatan dalam PRU13 ini berlaku? Saya akan mengulas nanti.


oleh: Zulkifli Yahaya



sumber: http://www.kedahlanie.info/2013/05/satu-analisis-pakatan-tumbang-oleh-undi.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan