Rabu, 8 Mei 2013

Off topic: Ulasan PRU ke-13


Syabas dan tahniah kepada BN atas kemenangan yang dicatatkan dalam PRU 13. Walaubagaimanapun, BN masih lagi gagal mendapatkan mandat 2/3 dalam parlimen dengan mencatatkan penurusan jumlah kerusi parlimen yang dimenangi berbanding PRU 12 pada tahun 2008. Selain itu, berdasarkan jumlah undi popular, BN mempunyai peratusan yang rendah berbanding PR tetapi masih mampu untuk membentuk kerajaan kerana mempunyai kerusi yang banyak.

Bagi ulasan ini, aku lebih menjuruskan atau memfokuskan kepada PR bagi mengenalpasti beberapa faktor penyebab kegagalan PR menumbangkan BN serta kehilangan penguasaan di Kedah kepada BN. Walaubagaimanapun, PR berjaya mengukuhkan kedudukan di Selangor dan Pulau Pinang dengan mendapatkan keputusan 2/3 kerusi DUN.

Faktor utama kegagalan PR adalah tiada satu gabungan atau parti yang rasmi antara PAS, PKR dan DAP. Walaupun perkataan 'Pakatan Rakyat' telahpun digunakan sejak beberapa tahun, tetapi ianya boleh dianggap sebagai gabungan atau kerjasama atau parti yang tidak sah gara-gara tidak didaftarkan dengan ROS.

Ketiadaan satu parti yang menaungi PAS, PKR dan DAP mengakibatkan ketiga-tiga pasti ini dilihat lebih membawa agenda masing-masing walaupun terdapat beberapa perkara yang dipersetujui bersama. Jika PAS, PKR dan DAP dapat menubuhkan satu parti besar sahaja, objektif parti dapat disenaraikan dengan jelas sekaligus memudahkan proses penerangan dan penyampaian maklumat kepada rakyat.

Jadi, dalam tempoh lima tahun ini, PAS, PKR dan DAP perlu mencari jalan untuk mendaftarkan PR secara rasmi dan menyatakan dengan jelas objektif-objektif PR, sebagai contoh, apakah yang boleh PR berikan atau buat kepada rakyat. Jangan difokuskan sangat kepada keburukan atau kelemahan yang ada pada BN.

Selain itu, konsep kerjasama dalam PR hanya difahami sepenuhnya di kalangan pemimpin tertinggi PAS, PKR dan DAP manakala golongan ahli atau penyokong kebanyakannnya kurang memahami konsep tersebut. Ini dapat dilihat dalam PRU 13 di mana PAS dan PKR sama-sama bertanding menentang BN dalam beberapa kerusi parlimen dan DUN.

Perkara ini dapat dielakkan sekiranya pemimpin setiap parti mengambil pendekatan yang efektif bagi membuat penerangan kepada ahli dan penyokong masing-masing. BN pastinya mampu untuk ditewaskan sekiranya PR hanya meletakkan seorang sahaja calon bagi melawan dengan calon BN.

Kini, aku fokuskan kepada Kedah pula. Aku merasakan kekalahan PAS di Kedah dapat membuka mata di kalangan PAS itu sendiri. Aku boleh mengatakan bahawa dengan kemelut yang melanda PAS terutamanya di Kedah, adalah amat wajar PAS kehilangan Kedah. Dengan cara ini, PAS dilihat dapat mengenalpasti dan memperbaiki kelemahan sebelum berusaha untuk bangkit semula.

PAS yang memegang tampuk kerajaan Kedah dilihat gagal menunjukkan kesan baik dari segi fizikal  pentadbiran di bawah Ustaz Azizan (UA). Maksudnya, kebanyakan rakyat Kedah tertanya-tanya apakah yang telah dilakukan oleh PAS sepanjang menjadi kerajaan dalam tempoh lima tahun.

Ini adalah kerana hanya golongan bawahan sahaja yang menikmati bantuan daripada kerajaan negeri menerusi bantuan kemiskinan dan pendidikan manakala golongan pertengahan dan atasan boleh dikatakan ternanti-nanti tindakan atau keputusan kerajaan negeri yang mampu memberikan kesan positif kepada mereka.

Walaupun, kerajaan PAS tidak mempunyai sebarang kes rasuah dan mencatatkan hasil balak yang tinggi, tetapi ianya masih belum cukup untuk meyakinkan rakyat Kedah untuk meneruskan sokongan kepada PAS. Bagi pengundi tegar PAS, pastinya tidak ada masalah memandangkan sokongan mereka lebih kepada niat ingin membantu satu jamaah atau parti yang mampu untuk menegakkan islam.

PAS Kedah jugak mengalami kemelut dalaman seperti perselisihan antara UA dengan Ir. Phahrolrazi. Kebanyakan ahli dan penyokong PAS mengetahui perkara ini tetapi membisu sahaja terutamanya sebelum PRU 13 bagi mengelakkan tumpuan PAS terganggu. Tetapi media massa berjaya menggembar-gemburkan perkara ini supaya dilihat besar oleh masyarakat.

Isu penyelewengan Tabung Memali turut mempengaruhi sebahagian rakyat Kedah. PAS yang dilihat lebih cenderung kepada membongkarkan kesilapan BN gagal memberikan penerangan secukupnya bagi isu tersebut. Ini mengakibatkan rakyat gagal mendapatkan informasi yang tepat seterusnya membuat kesimpulan bahawa PAS mempunyai golongan yang tidak jujur.

Secara tidak langsung, rakyat Kedah beranggapan PAS juga memiliki sifat dan sikap yang tidak mencerminkan ciri-ciri islamik yang sepatutnya dimiliki di kalangan pemimpin PAS. Nasib PAS di Kedah boleh dikatakan sama sahaja dengan apa yang dialami di Terengganu pada tahun 1999-2004.

Dengan beberapa masalah lagi yang melanda PAS Kedah, sememangnya PAS layak untuk tumbang di Kedah. PAS perlu melakukan kajiselidik secara teliti atas kekalahan yang dialami. Pada aku, bagaimana Allah swt ingin memberikan kemenangan kepada Islam jika parti berasaskan Islam seperti PAS bergolak dengan masalah dalaman selain gagal menunjukkan ciri-ciri Islam dengan sempurna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan