Jumaat, 12 April 2013

Preview: MU vs Stoke City (BPL)


Selepas hanya mampu menang dua kali sahaja dari enam perlawanan semua pertandingan termasuk kekalahan terbaru 1-2 kepada Man City, MU kini perlu berusaha keras bagi mendapatkan semula rentak kemenangan dengan memastikan kunjungan ke Stoke City (SC) bakal memberikan tiga mata penuh kepada MU.



Walaupun masih lagi selesa dengan kelebihan 12 mata, MU tidak boleh lagi bersenang-lenang untuk mengharungi baki tujuh perlawanan BPL. Ini bagi mengelakkan episod duka yang dialami pada musim lepas berulang semula akibat kemerosotan prestasi apabila saingan BPL hampir menuju ke penamat.

MU memiliki skuad yang agak besar dan mantap untuk musim ini, tetapi masalah prestasi di kalangan beberapa pemain utama sememangnya memberikan kesan kepada corak permainan dan persembahan MU ketika ini. Mujur, MU berjaya mendapatkan khidmat RVP di awal musim ini sekaligus menambahkan ketajaman serangan walaupun RVP kini sedang dilanda kemarau gol.

Dua perlawanan BPL lagi yang bakal dihadapi MU akan menentukan nasib MU untuk menjulang kejuaraan musim ini di mana lawan yang pertama adalah SC dan yang kedua adalah West Ham United. Kemenangan dalam dua perlawanan ini akan membolehkan MU mendapatkan kejuaraan BPL kali ke-20. Namun begitu, kedua-dua perlawanan ini akan berlangsung di halaman lawan dan pastinya menjadi tugas berat buat MU.

SAF dijangkakan akan merehatkan beberapa pemain yang kurang efektif dalam perlawanan terdahulu, antaranya Rooney, Welbeck dan Giggs. Tempat mereka akan diisikan oleh Kagawa, Valencia dan Cleverley. Pemain selebihnya dirasakan akan mengekalkan posisi masing-masing dalam kesebelasan utama MU.

Anderson dan Chicharito mungkin akan diletakkan dalam kesebelasan utama MU jika SAF melakukan rombakan besar-besaran terhadap kesebelasan utama MU. Selain itu, Vidic juga mungkin dapat beraksi semula selepas tersisih dari perlawanan menentang Man City.

Ketika ini, MU dilihat amat memerlukan RVP menemui semula sentuhan penyudahnya. Jika RVP dapat menamatkan kemarau golnya ketika perlawanan hujung minggu ini, sekurang-kurangnya MU berpeluang untuk menumpaskan SC seterusnya mengutip tiga mata penuh.


Jangkaan kesebelasan utama MU:




Jangkaan perlawanan dan keputusan:

MU perlu berwaspada dengan corak permainan fizikal SC yang pastinya akan banyak membuat hantaran jauh ke dalam kotak penalti lawan. DDG semestinya sentiasa berkomunikasi dengan baik dan memberikan arahan kepada bahagian pertahanan MU. Aku merasakan jika MU mampu mendapatkan jaringan terlebih dahulu, tiga mata penuh akan selamat dibawa pulang ke OT di mana kesudahan perlawanan memihak kepada MU dengan keputusan 2-0. Gol-gol dijaringkan oleh RVP dan Cleverley.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan