Ahad, 19 Ogos 2012

Ulasan umum perlawanan BPL malam tadi


Sebelum aku bercerita dengan lebih panjang tentang ulasan perlawanan dan sempena ketibaan Eidulfitri ini, aku ingin mengucapkan 'TAQABBALLAHU MINNAA WA MINKUM' dan SALAM EIDULFITIRI, MAAF ZAHIR BATIN buat semua pembaca blog MBD. Mohon maaf jika ada terkasar bahasa dalam setiap entry dalam blog ini. Dan tidak lupa, ucapan jutaan terima kasih atas sokongan anda semua.

Malam tadi, telah berlangsung tujuh perlawanan pertama bagi saingan BPL musim ini. Sepertimana yang diketahui ramai Arsenal hanya sekadar seri 0-0 dengan Sunderland di halaman sendiri. Pada pendapat aku, serangan Arsenal sedikit tumpul akibat ketiadaan RVP. Pudolski gagal menyinar dan digantikan dengan Giroud yang terlepas peluang menjaringkan gol kompetitif sulung buat Arsenal walaupun berada di kedudukan yang cantik. Sunderland pula beraksi dengan penuh disiplin dan sememangnya menjadi sasaran mereka untuk mengelakkan kekalahan dalam perlawanan pertama BPL.

Walaupun mempunyai pengurus baru dan kemasukan pemain baru, itu belum cukup buat Liverpool untuk mengelakkan kekalahan 0-3 kepada WBA. Pemain Liverpool tampak seperti belum dapat menjelmakan aksi yang dikehendaki oleh Rodgers yang cukup terkenal dengan corak permainan yang menarik. Clark yang dipecat bersama-sama Daglish oleh Liverpool berjaya memberikan inspirasi buat WBA untuk menewaskan Liverpool.

QPR juga tidak bernasib baik apabila dibelasah 0-5 di tangan Swansea City. Laundrup ternyata bijak kerana berjaya mendapatkan Michu dengan harga yang murah tetapi mampu memberikan impak kepada pasukan. QPR pula gagal menggunakan peluang beraksi di halaman sendiri dan Hughes tampak masih belum menjumpai formula yang bagus untuk mengintegrasikan para pemainnya yang rata-rata diperoleh pada musim panas ini.

Fulham ternyata tersenyum lebar apabila menundukkan cabaran Norwich City dengan keputusan 5-0. Sidwell kembali menunjukkan prestasi cemerlang sepertimana di Reading suatu ketika dulu dengan membantu Fulham mencatatkan kemenangan. Norwich City kelihatan terjejas di bawah kendalian pengurus baru selepas Lambert menyertai Aston Villa.

West Ham United yang layak beraksi di BPL musim ini berjaya mencatatkan kemenangan berharga apabila menewaskan Aston Villa menerusi keputusan 1-0 di halaman sendiri. Nolan menjaringkan gol tunggal perlawanan walaupun berlaku sedikit kontroversi di mana Vaz Te yang menolak bola kepada Nolan berada di kedudukan offside.

Stoke City dan Reading berkongsi satu mata apabila memperoleh keputusan seri 1-1. Reading memerlukan penalti di babak akhir perlawanan untuk menyamakan kedudukan. Stoke City mendapatkan gol selepas bola rembatan lemah Kightly gagal ditangkap kemas oleh Federici.

Newcastle United memulakan musim 2012/2013 dengan langkah kanan apabila mengalahkan Tottenham Hotspur  dengan keputusan 2-1. Ba dan Ben Arfa meledakkan gol buat Newcastle United sementara Defoe menjaringkan gol tunggal Tottenham Hotspur. Pardew mungkin akan dikenakan tindakan oleh FA kerana didapati menolak penjaga garisan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan