Rabu, 29 Ogos 2012

Kedah 2 - Terengganu 1


Akhirnya Kedah berjaya memecahkan 'telur' bagi mendapatkan mata dalam saingan kumpulan B Piala Malaysia tahun ini. Pasukan Penyu nampaknya tidak berupaya untuk melindungi telurnya daripada dipatuk sehingga pecah oleh skuad Kenari.

Aku tidak berkesempatan untuk menjengah ke SDA memandangkan anak perempuan aku yang kecil mengalami sedikit demam. Dengan si abang yang semakin hari semakin buas, sukar untuk aku meninggalkan kedua-dua mereka hanya di bawah kawalan isteri aku (cheewaahhh intro....).

Berdasarkan beberapa ulasan yang diperoleh dari pelbagai sumber seperti HKC, FB penyokong Kedah dan sebagainya, ramai yang memuji corak permainan Kedah malam tadi. Aku sendiri teruja melihat transformasi Kedah yang menampilkan corak permainan yang boleh dikatakan menarik berbanding apa yang telah ditunjukkan ketika saingan Liga Super yang lalu.

Kehadiran semula Muhymeen turut memberikan sinar buat Kedah apabila telah meledakkan tiga gol dalam dua perlawanan sekembalinya daripada pergantungan. Walaubagaimanapun, Kedah masih lagi tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik akibat kecederaan yang melanda pemain utama seperti Amar dan Azmizi.

Mungkin badi juga memainkan peranan bagi menjadi penyebab Terengganu terkulai di SDA. Ini kerana berdasarkan rekod perlawanan terdahulu, Terengganu gagal mengalahkan Kedah sejak dari tahun 2008 selain kemenangan Kedah malam tadi merupakan kemenangan ke10 berturut-turut ke atas Terengganu.

Apa yang diharapkan, dalam pusingan timbal balik (kedua) kumpulan nanti di mana Kedah akan bertandang pula ke Kuala Terengganu, Kedah mampu untuk meneruskan rekod cemerlang tersebut. Kedah tidak boleh lagi keciciran mata jika ingin melayakkan diri ke peringkat suku akhir. Peluang Kedah lebih terarah menjadi pasukan kedua terbaik kumpulan memandangkan ATM kini tidak mengalami sebarang kekalahan dan memperoleh 7 mata.

Jadi, baki lagi tiga perlawanan harus dipergunakan dengan sebaik mungkin. Kesilapan yang dilakukan terutamanya di bahagian pertahanan harus dikurangkan, malah jika boleh dihapuskan kerana setakat ini, gol-gol yang dilepaskan oleh Kedah, kebanyakannya berpunca dari kelalaian ketika berhadapan dengan serangan pihak lawan.

Kudrat Muhymeen dan Baddrol sekali lagi ditagih bagi membawa cabaran Kedah dan dibantu oleh beberapa pemain lain seperti Safi dan Sabri yang dilihat mengemudikan bahagian tengah Kedah dengan baik.
Mungkin kecederaan yang dialami oleh Thiru memberikan sedikit khabar yang tidak menggembirakan buat para peminat Hijau Kuning.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan