Jumaat, 24 Ogos 2012

Kedah 0 - ATM 2


Aku berkesempatan untuk berkunjung ke SDA untuk menyaksikan Kedah menentang ATM dalam perlawanan sulung kumpulan B saingan Piala Malaysia 2012. Walaupun beraksi di halaman sendiri, Kedah gagal menggunakan kelebihan tersebut selepas mengalami kekalahan 0-2 kepada ATM.

Secara keseluruhannya, Kedah menampilkan corak permainan yang cukup berbeza di bawah jurulatih baru iaitu Mario Tot berbanding dengan persembahan dalam saingan liga di bawah kendalian Wan Jamak. Kedah menerapkan corak hantaran pendek yang kemas di antara pemain dari kawasan bawah sehinggalah ke atas. Namun, pertukaran hantaran yang kerap mengakibatkan Kedah lambat dalam melancarkan serangan sekaligus gagal mengancam kubu pertahanan ATM.

ATM pula memberikan aksi yang bagus, menepati status selaku juara Liga Perdana musim ini walaupun tidak dibarisi oleh dua pemain importnya. Segala pergerakan Kedah berjaya dibaca dan dipintas selain bijak melancarkan serangan balas yang pantas sekaligus menyebabkan Kedah kelam kabut di barisan pertahanan.

Kedah mempertaruhkan See Kok Luen dan pemain pinjaman, Sabri untuk mengemudikan barisan tengah. Namun keputusan tersebut tidak memberikan hasil yang positif apabila kedua-dua mereka kerap kehilangan kawalan bola dan akibatnya ATM berjaya menjaringkan gol pertama selepas bijak merampas bola dari kawalan Kok Luen. Helmi juga perlu dipersalahkan kerana rembatan Reuben boleh diselamatkan sekiranya Helmi melompat dengan lebih pantas.

Kedah jelas merasai ketiadaan Muhymeen yang digantung perlawanan dan Gerc yang diharapkan untuk meledakkan gol kelihatan mudah rebah apabila diasak oleh pertahanan ATM. Baddrol pula tidak berfungsi dengan berkesan mengerakkan serangan Kedah dan hanya berlegar-legar di kawasan tengah padang. Mungkin Baddrol memerlukan Safi bagi melancarkan serangan Kedah di mana Safi tidak dapat beraksi akibat kecederaan.

ATM memperoleh gol kedua menerusi sepakan penalti selepas Fazliata didapati oleh pengadil perlawanan mengasai Amiridzwan dalam kotak penalti Kedah walaupun dilihat penyerang ATM tersebut merebahkan badan tanpa diasak dengan kuat oleh Fazliata. Zaquan tidak mensia-siakan sepakan penalti tersebut dengan mudah menewaskan Helmi.

Kedah memang menampakkan perubahan dari segi corak permainan. Namun, Kedah perlu mempercepatkan kelajuan permainan dengan hantaran-hantaran pantas jika ingin melepasi peringkat kumpulan ini. Kedah harus sedar bahawa kumpulan B merupakan kumpulan yang sukar kerana bukan sahaja Kedah diundi bersama ATM, malah Terengganu dan Kelantan juga berada dalam kumpulan B.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan