Selasa, 4 Februari 2014

Review: MU vs Stoke City (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 1
v. Persie 47'

STOKE CITY 2
Adam 38', 52'



Pemain terbaik perlawanan:

CHARLIE ADAM


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Rafael >> Evans
Welbeck >> Jones
Hernandez >> v. Persie


Ulasan perlawanan:

MU terus dihimpit kedukaan apabila tewas 1-2 di tangan Stoke City (SC). Dua gol daripada Adam membolehkan SC menumpaskan MU dalam perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan dan berangin.

Keadaan cuaca dan corak permainan SC boleh dikatakan menjadi faktor kepada kekalahan MU selain masalah kecderaan yang menimpa dua pemain pertahanan tengah MU iaitu Jones dan Evans sehingga memaksa Carrick beraksi selaku pertahanan tengah kecemasan.

SC sudah dikenali dengan corak permainan fizikal dan keras dan ini menyebabkan DM mengambil keputusan berhati-hati dalam menurunkan kesebelasan utama. Salah satu keputusan tersebut adalah Smalling beraksi di pertahanan kanan dan bukannya Rafael. Ini adalah kerana Rafael dilihat tidak memiliki kelebihan bagi bersaing dengan pemain SC yang tinggi dan keras.

Jones juga diturunkan bagi menangani Crouch yang sememangnya salah seorang penyerang yang sukar untuk dibendung. Young menjadi pilihan untuk diturunkan berbanding Valencia kerana permainannya yang variasi dan bukannya satu arah sepertimana Valencia yang mudah dibaca oleh pihak lawan.

Namun begitu, akibat kurang bernasib baik, MU melakukan pertukaran awal dengan memasukkan Rafael bagi menggantikan Evans yang mengalami kecederaan. Kemasukan Rafael tidak sangat memberikan kesan apabila mudah diatasi oleh pemain SC.

Cuaca hujan dan angin kuat menyebabkan MU tidak boleh untuk membuat hantaran-hantaran jauh dengan tepat manakala permainan keras pemain SC menidakkan MU hantaran-hantaran pendek. Ini sekaligus mengakibatkan MU mati akal untuk bermain dengan baik walaupun mempunyai Rooney, RVP dan Mata dalam kesebelasan utama MU.

Kesilapan Smalling membolehkan SC mendapatkan sepakan percuma di luar kotak penalti. Rembatan deras Adam yang terbias kaki Carrick menyebabkan MU bolos setelah DDG tersalah agakan bola. Gol SC tersebut seolah-olah menyedarkan MU dari lamunan dan mula untuk mencabar SC.

MU memperoleh gol penyamaan pada separuh masa kedua menerusi RVP yang berjaya menyudahkan hantaran cantik Mata. Walaubagaimanapun, MU gagal mendapatkan tambahan gol gara-gara tidak melancarkan serangan yang benar-benar kemas.

SC tidak menunggu lama untuk mendahului semula perlawanan apabila Adam menyumbat gol keduanya menerusi rembatan deras yang gagal ditepis oleh DDG. MU cuba memperkemaskan permainan tetapi terus berputih mata sehingga wisel penamat dibunyikan.

MU perlu cuba beraksi dengan lebih baik jika ingin memastikan tempat ke UCL musim hadapan. MU tidak boleh lagi keciciran mata dan DM mesti mendapatkan formula terbaik bagi mengintegrasikan Mata, Rooney dan RVP untuk menjadikan bahagian serangan benar-benar ampuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan