Rabu, 19 Februari 2014

Kedah takat suku akhir ja la


Kedah sememangnya tidak mampu untuk menyekat kemaraan JDT untuk layak ke peringkat separuh akhir Piala FA apabila tumpas 0-2 di Stadium Darul Aman (SDA) malam tadi sekaligus kalah 1-5 secara agregat dalam dua perlawanan peringkat suku akhir.


 http://www.nizarazu.com/wp-content/uploads/2014/02/Kedah-VS-JDT-live-piala-FA.jpg

David Mitchell boleh dikatakan menurunkan kesebelasan terbaik Kedah bagi melayan kunjungan JDT ke bumi Alor Setar tetapi ianya belum cukup untuk menyaingi kehebatan JDT yang diketahui ramai mempunyai pemain-pemain yang bagus.

Walaubagaimanapun, corak permainan Kedah turut menjadi faktor kekalahan kerana lebih cenderung membuat hantaran-hantaran jauh yang sememangnya tidak mengenai sasaran. Selain itu, kedudukan Franco Gomes yang terlalu ke bawah menyebabkan Kedah gagal untuk menguasai kawasan tengah padang.

Oleh kerana tidak memperoleh sokongan dan pertolongan sepatutnya, Billy Mehmet tampak terpencil di bahagian serangan manakala Muhymeen pula tidak memainkan peranan dengan baik untuk menghubungkan antara bahagian tengah dan serangan.

Kesilapan Khairul Helmi dalam mengeluarkan bola dari situasi merbahaya mengundang padah apabila Norshahrul meledakkan gol buat JDT selepas bijak menggelecek penjaga gol Kedah, Saiful Amar. Kerapuhan benteng pertahanan Kedah dibuktikan lagi apabila JDT memperoleh gol kedua selepas Amri Yahyah membuat larian menarik dalam kotak penalti Kedah sebelum melorongkan bola kepada Safee Sali yang kemudiannya merembat bola ke dalam gawang gol Kedah.

SDA yang padat dengan penyokong Hijau Kuning gagal memberikan kelebihan buat Kedah. Nampaknya, transformasi yang dilakukan oleh Kedah FA (KFA) setakat ini belum menampakkan kecemerlangan dan ini meresahkan peminat Kedah yang menginginkan Kedah akan berjaya kembali semula ke Liga Super pada musim hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan