Rabu, 5 Februari 2014

Asyik kalah ja


Pembelian Mata pada bulan Januari lalu nampaknya masih belum memberikan kesan yang cukup positif buat MU. Walaupun DM menurunkan Mata, Rooney dah RVP secara serentak sepertimana ketika MU bertemu Stoke City, ianya gagal memberikan tiga mata penuh buat MU dan kekalahan terbaru ini menyebabkan MU terus dirundung malang.

DM pastinya tertekan bukan sahaja dengan prestasi semasa MU malah gusar dengan persembahan pemain secara individu yang dirasakan tidak menepati standard yang dikehendaki oleh MU. Aku yakin, pada musim panas nanti, DM akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad utama MU dengan mengekalkan pemain yang benar-benar boleh beraksi dan memberikan laluan kepada pemain yang tidak memberikan sumbangan signifikan untuk berhijrah.

Cleverley, Young, Anderson, Welbeck dan Nani dikatakan antara pemain yang akan dilepaskan oleh MU manakala Ferdinand, Vidic dan Evra mungkin tidak ditawarkan kontrak yang baru. Jadi, ini memberikan kekosongan yang perlu diisikan oleh beberapa pemain baru yang DM rasakan dapat memperkuatkan MU pada musim hadapan.

Dengan saingan BPL berbaki lagi 14 perlawanan, MU seharusnya mengutip mata semaksima mungkin jika ingin merebut slot terakhir ke saingan UCL musim hadapan. Kegagalan untuk beraksi di UCL nanti, bukan sahaja mengurangkan perolehan kewangan malah akan menjadi salah satu faktor yang menyukarkan MU untuk memikat pemain-pemain baru untuk menyertai MU.

Pada ketika ini, tatkala pemain sayap mengalami kemerosotan prestasi, DM mungkin boleh menggunakan formasi 4-3-3 seperti di bawah: 


Menerusi formasi ini, Rooney dan Mata akan bekerjsama membantu RVP bagi menggerakkan serangan. Rooney dan Mata boleh bertukar tempat dan hanya menumpukan terhadap tugas-tugas ofensif. Carrick pula bertindak selaku deep playmaker, Fletcher lebih kepada box-to-box midfielder manakala Fellaini berfungsi sebagai ball-winning midfielder.

Rooney, Mata dan RVP akan kerap berada dalam kawasan lawan memandangkan bahagian tengah akan menjalankan peranan menguasai kawasan tengah padang selain mematahkan pergerakan pasukan lawan. Bola juga mungkin akan selalu sampai di kaki Mata atau Rooney ketika mula bergerak melancarkan serangan sekaligus menjadi permainan MU lebih cenderung kepada hantaran bola bawah.

Ini sekaligus dapat mengeksploitasikan sepenuhnya kemahiran Mata dan Rooney dalam menggunapakai kreativiti masing-masing selain masing-masing berkemampuan untuk membuat percubaan dari luar kotak penalti.

Namun, bahagian pertahanan menampakkan sedikit kegusaran kerana masalah kecederaan dan kekerapan melakukan kesilapan melanda. Sejak kebelakangan ini, Evra tampak mudah untuk diatasi oleh pemain lawan. Ianya mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti kurang penumpuan ketika bertahan, daya pecutan yang perlahan dan kesilapan membuat keputusan. 

Evra tampak berhadapan kesukaran apabila berhadapan dengan pemain lawan yang mempunyai larian yang deras. Rafael pula gagal mempamerkan ketenangan sepatutnya ketika berhadapan dengan tekanan, sekaligus memungkinkan dirinya melakukan tindakan yang tidak wajar seperti membuat terjahan keras atau mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh menyebabkan pengadil perlawanan memberikan hukuman layangan kad.

Apapun, peminat MU perlu bersabar dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada DM. Tidak mustahil, MU akan gagal mendapatkan sebarang piala musim ini tetapi harus diingatkan juga, ketika MU mempunyai SAF, terdapat juga beberapa musim MU tidak menjulang sebarang kejuaraan. Jadi, bertenang dan terus menyokong MU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan