Menjadi tuan rumah kejohanan mungkin menjadi salah satu kelebihan buat Brazil apabila ditabalkan sebagai juara Piala Konfederasi 2013 selepas mengejutkan juara dunia dan eropah, Sepanyol dengan keputusan 3-0.
sumber: http://espnfc.com
Fred menjadi duri dalam daging buat Sepanyol apabila menyumbangkan dua gol manakala penyerang muda sensasi, Neymar meledakkan satu gol bagi membolehkan Brazil mencatatkan kemenangan yang cukup selesa ke atas Sepanyol.
Berada di ranking yang jauh terbelakang, tidak memberikan sebarang makna buat Brazil apabila berjaya menampilkan prestasi yang cukup cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung. Sepanyol pula menepati statusnya selaku juara dunia dan eropah apabila melepasi setiap perlawanan dengan jayanya.
Jika dilihat secara menyeluruh, Brazil boleh dikatakan pasukan baru kerana dibarisi oleh beberapa pemain muda dan tampak sedikit kurang pengalaman berbanding Sepanyol yang sememangnya membariskan bintang-bintang ternama seperti Xavi dan Iniesta.
Brazil ternyata memerlukan kejuaraan Piala Konfederasi ini bagi menaikkan semula keyakinan para peminatnya selain ingin membuktikan kepada mata dunia bahawa Brazil mampu untuk menjadi tuan rumah kejohanan terbesar dunia pada tahun hadapan.
Brazil menampilkan corak permainan yang kemas menerusi hantaran-hantaran tepat dan mudah. Ini agak berlainan dengan Brazil yang sememangnya dikenali dengan corak permainan 'samba'nya. Menerusi hantaran pantas tersebut, Brazil berupaya mencipta peluang keemasan dengan mudah memandangkan bahagian serangannya mempunyai larian yang pantas.
Sepanyol pula boleh dikatakan mengekalkan corak permainan 'ball possession' dengan Xavi dan Iniesta menjadi penggerak utama. Namun begitu, apabila Brazil dapat membaca corak permainan Sepanyol, Sepanyol dilihat gagal membuat perubahan dan ini memberikan ruang kepada Brazil untuk merobek pertahanan Sepanyol.
Walaubagaimanapun, dengan tamatnya Piala Konfederasi 2013, tumpuan kini kembali terarah kepada Piala Dunia yang akan berlangsung pada tahun hadapan. Sepanyol pastinya akan menjadi pilihan utama menjadi juara manakala Brazil akan memberikan cabaran yang sengit setelah menampakkan kebangkitan yang memberangsangkan kebelakangan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan