Isnin, 1 Julai 2013

Review: Penentuan tempat ke-3/4 Piala Konfederasi


Uruguay 2-2 Italy (2-3 pens)


Itali seperti telah menamatkan badi apabila berjaya menumpaskan Uruguay menerusi sepakan penalti bagi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Konfederasi 2013. Itali dan Uruguay terikat 2-2 dalam 120 minit masa perlawanan dan memaksa perlawanan diteruskan ke sepakan penalti bagi menentukan pemenangnya di mana Buffon bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Uruguay sekaligus memberikan kemenangan 3-2 kepada Itali.

Corak permainan Itali dilihat agak menarik kerana menunjukkan penguasaan bola yang baik, tidak seperti dahulu di mana Itali merupakan pasukan yang lebih banyak bertahan dan hanya melancarkan serangan balas. Namun, di bawah Prandelli, Itali mempamerkan corak permainan yang pantas menerusi hantaran-hantaran tepat dan cepat di samping kerajinan pertahanan tepi berlari ke atas membantu serangan.

De Rossi sememangnya menjadi nadi utama Itali kerana bijak menguasai kawasan tengah padang. De Rossi bukan sahaja tenang memberikan perlindungan kepada bahagian pertahanan Itali malah bijak membuka permainan Itali ketika melancarkan serangan sehinggakan ketiadaan Pirlo tidak begitu dirasai oleh Itali. 

Walaubagaimanapun, bahagian serangan Itali sedikit tumpul menerusi gandingan Gilardino dan El Shaawary memandangkan hanya El Shaawary sahaja yang kerap mengucar-kacirkan bahagian pertahanan Uruguay. Jika Balotelli dapat beraksi, pastinya Itali akan lebih mengancam.

Walaupun Itali lebih menguasai permainan, namun Uruguay tampak lebih berbahaya ketika membuat serangan. Forlan yang diletakkan di sayap kiri beberapa kali berjaya membuat percubaan jarak jauh yang memaksa Buffon bekerja keras menyelematkan keadaan.

Gandingan Cavani dan Suarez tampak tidak begitu berkesan walaupun terdapat beberapa ketika Cavani dan Suarez bijak membuat hantaran antara satu sama lain bagi merobek pertahanan Itali. Prestasi Suarez agak sedikit merosot apabila kerap kehilangan kawalan bola. Cavani membuktikan kemampuannya apabila meledakkan dua gol buat Uruguay menepati statusnya sebagai antara penyerang berbisa dunia yang menjadi rebutan beberapa kelab besar eropah. 

Uruguay ternyata kecewa apabila hanya tumpas menerusi sepakan penalti. Namun begitu, kebangkitan terkini Uruguay membolehkan benua Amerika Latin kembali menempatkan diri dalam kelompok terbaik bersama-sama Argentina dan Brazil. Itali pula dilihat bakal memberikan saingan sengit dalam Piala Dunia 2014 setelah prestasi yang cukup memberangsangkan ditunjukkan dalam Piala Konfederasi 2013 ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan