Isnin, 1 Julai 2013

Review: Perlawanan akhir Piala FA 2013


Kelantan telah membuktikan kemampuannya untuk menjulang Piala FA 2013 apabila menumpaskan Johor drul Takzim (JDT) dengan keputusan 1-0. Gol tunggal perlawanan yang merupakan gol kemenangan Kelantan dijaringkan oleh Nor Farhan pada minit ke-17.


FACup-Kelantan

Di atas kertas, kekuatan Kelantan dan JDT tampak seimbang. Kelantan yang dibarisi beberapa pemain muda masih lagi mempunyai beberapa pemain berpengalaman seperti Khairul Fahmi dan Badhri Radzi untuk membimbing pasukan. Ini merupakan kekuatan utama Kelantan kerana Kelantan telahpun berjaya beberapa kali berada di pentas perlawanan akhir dan sekaligus dapat menyerap tekanan yang bakal dihadapi.

JDT pula walaupun boleh dikatakan mempunyai ramai pemain kebangsaan, namun perlawanan akhir Piala 2013 yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil merupakan pengalaman pertama buat pasukan. Secara tidak langsung, tekanan sedikit sebanyak memainkan peranan dalam menjejaskan rentak permainan JDT.

Kelantan tampak lebih bernafsu apabila melancarkan gerakan pantas dan mencipta beberapa peluang manakala JDT menampilkan corak permainan yang agak perlahan. Ini memberikan ruang kepada Kelantan untuk menguasai kawasan tengah padang menerusi gandingan baik antara Shakir dan Badhri Radzi.

JDT ternyata kecewa dengan persembahan bahagian serangannya yang diketuai oleh Safee Sali dan Nunez. Kedua-dua mereka tidak banyak mengucar-kacirkan pertahanan kental Kelantan dan JDT terpaksa bergantung kepada kelicikan Norshahrul untuk membuat ancaman ke arah pintu gol Kelantan.

Nor Farhan yang beraksi di bahagian tengah Kelantan kerap melakukan larian bijak sekaligus memberikan peluang kepada Kelantan untuk mendapatkan gol kemenangan. Larian Nor Farhan pantas dihidu oleh Badhri Radzi yang membuat lorongan bola kepada Nor Farhan. Walaupun kawalan bola Nor Farhan sedikit terganggu, namun Nor Farhan dengan tenang melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol JDT, Al-Hafiz.

Gol tersebut sudah cukup untuk memberikan senyuman yang tidak terhingga buat para pemain dan penyokong Kelantan. Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan cuba mendapatkan jaringan namun kegopohan di bahagian serangan masing-masing menyebabkan Kelantan dan JDT berputih mata.

Sebaik wisel penamat ditiupkan, sorakan gegak gempita kedengaran tatkala Kelantan meraikan kejuaraan Piala FA 2013 sementara JDT meratap kesedihan. Dengan terjulangnya Piala FA 2013, Kelantan membuktikan bahawa mereka masih lagi berupaya untuk menjadi salah satu pasukan yang digeruni di Malaysia walaupun ketika ini, prestasi mereka dalam Liga Super tidaklah begitu memberangsangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan