Isnin, 2 Disember 2013

Review: MU vs Tottenham Hotspur (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 2
Rooney 32', 57' (pen)

TOTTENHAM HOTSPUR 2
Walker 18'
Sandro 54'



Pemain terbaik perlawanan:

WAYNE ROONEY


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Hernandez >> Welbeck
Nani >> Valencia
Young >> Kagawa


Ulasan perlawanan:

MU dipaksa bekerja keras oleh Tottenham Hotspur (Spurs) dalam perlawanan malam tadi di White Hart Lane bagi mencatatkan keputusan seri 2-2. Keputusan tersebut diperoleh selepas MU terpaksa bangkit dua kali dari ketinggalan selain memerlukan dua gol Rooney.

Walaupun dikatakan telahpun pulih dari kecederaan, RVP tidak diturunkan oleh DM dan tugas selaku penyerang utama diberikan kepada Welbeck. Rooney bertindak di belakang Welbeck dan diapit oleh Valencia dan Kagawa. Cleverley dan Jones diberikan tugas mengendalikan bahagian tengah MU.

Barisan pertahanan menyaksikan kehadiran semula Vidic dengan mengambil tempat Ferdinand di sisi Evans manakala Smalling dan Evra mempertahankan tempat masing-masing di posisi pertahanan kanan dan kiri. DDG pula meneruskan tanggungjawab mengawasi pintu gol MU.

Kesilapan pemain MU yang melompat ketika menjadi dinding bagi menahan sepakan percuma Spurs membolehkan Walker menjaringkan gol pertama menerusi rembatan leret deras yang gagal diselamatkan oleh DDG. Sepakan percuma tersebut diberikan kepada Spurs apabila Evans membuat kekasaran sedikit sahaja di luar kotak penalti MU.

Gol tersebut seolah-olah membangkitkan semangat Spurs yang kemudiannya mempertingkatkan serangan ke arah pintu gol MU. Namun, MU berjaya memperkemaskan permainan. Kesungguhan Jones untuk mengasak pemain Spurs membolehkan dirinya merampas bola dan membuat hantaran silang ke dalam kotak penalti Spurs. Hasilnya bola yang terbias akibat terkena pemain Spurs memberikan ruang kepada Rooney untuk menjaringkan gol bagi menyamakan kedudukan.

Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-1 walaupun kedua-dua pasukan berusaha menambahkan jaringan. Ini adalah kerana tidak banyak serangan yang betul-betul berkesan daripada MU dan Spurs dan penguasaan bola hanya ditunjukkan di kawasan tengah padang sahaja.

Spurs mempamerkan persembahan yang bertenaga sebaik sahaja separuh masa kedua bermula. Sandro meledakkan gol kedua MU apabila berjaya membuat rembatan jarak jauh yang menerjah jaring gol MU dengan DDG terkaku berdiri di tengah pintu gol.

MU tidak menunggu lama untuk sekali lagi menyamakan kedudukan apabila menerusi satu serangan balas, Rooney berjaya menghidu larian Welbeck dan membuat lorongan kepadanya. Welbeck dengan pantas berjaya menyambut hantaran Rooney tetapi dikasari oleh penjaga gol Spurs dalam kotak penalti seterusnya menyebabkan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada MU.

Rooney dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Lloris bagi mendapatkan gol kedua MU. MU cuba menambahkan asakan tetapi kekentalan benteng Spurs menghalang MU bagi mendapatkan gol tambahan.

Keputusan seri 2-2 dengan Spurs menyebabkan kedudukan MU merosot dan terkeluar dari lima pasukan teratas. Selain itu, MU kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu carta BPL, Arsenal. MU memerlukan sesuatu yang positif bagi memastikan MU terus bersaing bagi merebut kejuaraan BPL musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan