Jumaat, 27 Disember 2013

Review: MU vs Hull City (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 3
Smalling 19'
Rooney 26'
Chester 66' (o.g.)

HULL CITY 2
Chester 4'
Meyler 13'


Pemain terbaik perlawanan:

WAYNE ROONEY


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Januzaj >> Rafael
Hernandez >>Fletcher
Carrick >> Young


Ulasan perlawanan:

MU terpaksa bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengutip tiga mata penuh dari KC Stadium apabila berjaya menumpaskan Hull City (HC) dengan keputusan 3-2. Kemenangan MU malam tadi merupakan kemenangan kelima berturut-turut dalam semua pertandingan selepas kali terakhir MU tewas 0-1 adalah di tangan Newcastle United.

Rooney sekali lagi menjadi nadi utama MU apabila meledakkan satu gol dan membantu mencipta satu lagi gol buat MU. Walaubagaimanapun, gol kemenangan MU disumbangkan melalui gol sendiri yang dijaringkan oleh bekas pemain muda MU, Chester yang sebelum itu berjaya menjaringkan gol pertama HC.

MU tidak bermula dengan baik sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan. Peluang tersebut dipergunakan dengan sebaik mungkin oleh HC untuk melancarkan serangan ke arah pintu gol MU. Gol pertama HC terhasil menerusi sepakan sudut di mana pertahanan MU agak kucar-kacir dalam kotak penalti dan ini memberikan peluang kepada Chester untuk sampai terlebih dahulu kepada bola berbanding Welbeck yang kemudiannya pantas merembat masuk bola ke dalam gawang MU.

HC tidak menunggu lama untuk memperoleh gol kedua apabila bahagian pertahanan MU menampakkan kelemahan ketara dan memberikan ruang kepada Meyler untuk membuat percubaan ke arah pintu gol MU yang terbias terkena kaki Evans seterusnya menewaskan DDG.

Sejurus gol tersebut, MU mula menunjukkan semangat untuk bangkit bagi mengurangkan defisit gol. Kemasukan Januzaj yang menggantikan Rafael akibat mengalami kecederaan turut menambahkan sengat serangan MU. Hasilnya, menerusi sepakan percuma yang diambil oleh Rooney, berjaya ditanduk masuk oleh Smalling untuk gol pertama MU.

Gol kedua MU pula dijaringkan menerusi rembatan menarik Rooney di luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol HC. Dengan kedudukan terikat 2-2, MU lebih banyak menguasai permainan manakala HC kental untuk menahan asakan MU sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan HC cuba untuk menyaingi MU. Namun begitu, MU dilihat memiliki penguasaan bola yang tinggi. MU memperoleh gol ketiga apabila hantaran lintang Young yang cuba untuk mendapatkan Rooney telah dipintas oleh Chester. Walaubagaimanapun, tandukannya itu menerjah jaring gol sendiri sekaligus memberikan kelebihan buat MU.

Ketika perlawanan menghampiri wisel penamat, HC terus berusaha untuk memberikan tekanan kepada MU. Ternyata tekanan tersebut menyebabkan Valencia diarahkan keluar padang selepas menerima layangan kad kuning kedua. MU menarik nafas lega sebaik sahaja pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat. Tiga mata yang diperoleh membolehkan MU memperbaiki kedudukan dengan melonjak ke tangga ketujuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan