Isnin, 2 Julai 2012

Ulasan empat pasukan terbaik Euro 2012 - Portugal


Sebagai entry pertama aku untuk bulan Julai ini, aku akan cuba memberikan serba sedikit ulasan tentang empat pasukan terbaik Euro 2012 yakni Portugal, Jerman, Itali dan Sepanyol. Aku akan mulakan ulasan dengan Portugal terlebih dahulu.

Ramai yang tidak dapat menyangka bahawa Portugal mampu untuk melangkah ke separuh akhir Euro 2012 tatkala berada dalam kumpulan B yang dianggap sebagai kumpulan maut. Sepertimana dianggap oleh kebanyakan orang, termasuk diri aku, Portugal boleh dikatakan tidak memiliki skuad yang semantap seperti ketika zaman generasi emas yang cukup digeruni. Kudrat Ronaldo sekali lagi menjadi taruhan Portugal untuk Euro kali ini.

Portugal tidak mempunyai penyerang tulen selepas ketiadaan Pauleta dan Nuno Gomes. Postiga yang diharapkan mampu untuk menjadi pencetak gol Portugal tidak begitu mengancam dan menyebabkan Ronaldo bukan sahaja perlu menggerakkan serangan malah berperanan untuk mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

Barisan pertahanan Portugal boleh dikatakan agak mantap dengan Pepe dan Bruno Alves di tengah sementara Coentrao dan Pereira bertindak sebagai fullback. Walaubagaimanapun, Portugal lemah di pertahanan kanan dan ini boleh dilihat dalam beberapa perlawanan yang berjaya dieksploitasikan oleh pasukan lawan. Moutinho, Veloso dan Meireles pula menjadi pilihan untuk mengemudikan bahagian tengah Portugal. Bahagian serangan pula dipertanggungjawabkan kepada Nani, Postiga dan Ronaldo.

Dalam peringkat kumpulan, Portugal bermula hambar apabila tewas kepada Jerman dalam perlawanan pertama. Ronaldo dikawal dengan begitu rapat dan ini sekaligus merencatkan serangan Portugal tatkala bantuan yang tidak sepenuhnya dari rakan diterima oleh Ronaldo. Walaubagaimanapun, bagi perlawanan kedua, Portugal memperkemaskan corak permainan dan mampu untuk mendahului Denmark 2-0 pada suatu ketika, namun kealpaan di bahagian pertahanan hampir menyebabkan Portugal berputih mata apabila sekadar mencatatkan kemenangan 3-2.

Pertemuan dengan Belanda dalam perlawanan terakhir kumpulan menyaksikan kemampuan Ronaldo selaku antara penyerang terbaik dunia. Dua gol yang dijaringkan olehnya membolehkan Portugal menamatkan saingan kumpulan D di tempat kedua di belakang Jerman dan bertemu dengan Republik Czech dalam perlawanan suku akhir. 

Ronaldo sekali lagi menggembirakan kem Portugal apabila menjaringkan gol kemenangan ke atas Republik Czech. Kemenangan tersebut membolehkan Portugal melayakkan ke separuh akhir selaku pasukan underdog untuk bertemu Sepanyol. Portugal beraksi dengan begitu baik dan berjaya menyaingi corak permainan Sepanyol dan membawa perlawanan separuh akhir tersebut sehingga ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam 120 minit masa permainan.

Apa yang dihairankan adalah Ronaldo tidak langsung mengambil sepakan penalti tatkala pasukannya tewas kepada Sepanyol menerusi keputusan 2-4. Ronaldo dikatakan diletakkan di nama kelima dalam senarai pengambil sepakan penaldi menyebabkan Ronaldo tidak berupaya untuk membantu nasib Portugal.

Portugal perlu mencari bakat-bakat baru terutamanya di bahagian serangan bagi tidak membebankan Ronaldo jika ingin menampilkan prestasi yang membanggakan dalam sebarang kejohanan. Euro 2012 ini juga menjadi platform yang agak baik kepada Ronaldo untuk memberitahu kepada dunia bahawa beliau bukan sahaja mampu untuk beraksi cemerlang untuk kelab tetapi bersama skuad negaranya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan