Selasa, 3 Julai 2012

Ulasan empat pasukan terbaik Euro 2012 - Sepanyol


Tahniah buat La Roja kerana menjadi negara pertama menjuarai tiga kejohanan secara berturut-turut. Sepanyol membuktikan kemampuan mereka dengan mencatatkan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Itali dalam perlawanan akhir Euro 2012.

Apa yang boleh difokuskan terhadap Sepanyol adalah para pemainnya yang telah lama beraksi bersama sejak dari Euro 2008. Ini membolehkan Sepanyol memiliki persefahaman yang bagus di kalangan pemain tambahan pula bahagian tengah diisikan dengan pemain Barcelona yang sememangnya dikenali dengan corak permainan yang bagus.

Sepanyol melangkah ke Euro 2012 dengan sedikit tempang selepas ketiadaan Villa. Jadi, ramai yang menjangkakan sama ada Torres atau Llorente akan mengisikan kekosongan Villa. Namun jangkaan tersebut meleset apabila jurulatih Sepanyol, Del Bosque mengambil pendekatan berani dengan menggunapakai formasi 4-6-0 yakni tanpa penyerang tulen untuk memburu gol.

Selain Villa, Sepanyol juga kehilangan khidmat Puyol yang tersisih akibat kecederaan. Jadi, Pique berpasangan dengan Ramos di pertahanan tengah dan diapit oleh Arbeloa dan Jordi Alba. Ternyata perubahan terhadap pertahanan sedikitpun tidak menjejaskan prestasi Sepanyol malah hanya melepaskan satu gol sahaja sepanjang kejohanan Euro berlangsung.

Trio tengah Sepanyol iaitu Alonso, Xavi dan Iniesta benar-benar memberikan kelebihan buat Sepanyol. Ketiga-tiga mereka menjadi platform yang kukuh Silva dan Fabregas melancarkan serangan. Walaubagaimanapun, Sepanyol gagal beraksi kemas dalam perlawanan pertama kumpulan C apabila sekadar seri 1-1 dengan Itali.

Sepanyol memperkemaskan corak permainan dan berjaya memperoleh kemenangan 4-0 ke atas Republik Ireland. Torres meledakkan dua gol bagi membantu Sepanyol mencatatkan kemenangan. Dalam perlawanan akhir kumpulan, Sepanyol dipaksa bekerja keras untuk menewaskan Croatia. Gol kemenangan pun diperoleh tatkala perlawanan menghampiri wisel penamat.

Perancis menjadi lawan Sepanyol dalam aksi suku akhir. Perancis yang mempunyai rekod yang agak cemerlang iaitu 21 perlawanan tanpa kekalahan sebelum bermulanya Euro 2012 gagal menyaingi Sepanyol apabila tumpas 0-2. Sepanyol kemudiannya bertemu Portugal di separuh akhir.

Sepertimana ketika bertemu Croatia, Sepanyol terpaksa berusaha gigih kerana cabaran yang diberikan oleh Portugal. Peluang demi peluang telah diciptakan tetapi gagal menembusi benteng pertahanan Portugal. Sepanyol memerlukan penentuan sepakan penalti untuk layak ke perlawanan akhir.

Dalam aksi perlawanan akhir, dengan formasi 4-6-0, Sepanyol berjaya mengekalkan kejuaraan Euro dengan menewaskan Itali menerusi keputusan 4-0. Torres dan Mata yang hanya beraksi sebagai pemain simpanan masing-masing mampu untuk menyumbangkan satu gol.

Sepanyol memiliki ramuan yang sememangnya terbaik untuk menjadi juara. Dengan pemain Barcelona yang mempunyai reputasi yang cemerlang mengisi sebahagian besar posisi skuad selain purata umur yang tidak begitu tua, Sepanyol bakal mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dalam tempoh beberapa tahun lagi. Buat masa ini, aku merasakan masih belum ada pasukan yang benar-benar boleh menyaingi corak permainan tiki taka Sepanyol dan pasukan lawan memerlukan usaha yang amat tinggi jika ingin menghampakan Sepanyol.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan