Selasa, 20 Mac 2012

Review: MU vs Wolverhampton Wanderers

Keputusan perlawanan:

Manchester United 5
Jonny Evans 21'
Antonio Valencia 43'
Danny Welbeck 45+1'
Chicharito 56', 61'


Wolverhampton Wanderers 0




Ulasan perlawanan:

MU berjaya bangkit dari kekalahan yang dialami pada pertengahan minggu lepas apabila menumpaskan Wolverhampton Wanderers (Wolves) dengan keputusan 5-0. Kemenangan bergaya tersebut membolehkan MU menjarakkan mata menjadi empat dengan Man City. Seterusnya kini Man City berada dalam tekanan untuk mengekori MU selain perlu berhadapan dengan Chelsea pertengahan minggu ini.

Walaupun Wolves merupakan pasukan yang menghuni zon penyingkiran, namun MU tidak memandang mudah cabaran yang akan diberikan oleh pasukan lawan yang beraksi di halaman sendiri. SAF menurunkan kesebelasan terbaiknya bagi memastikan MU membawa pulang tiga mata yang cukup berharga.

DDG meneruskan pretasi baiknya dan hasilnya, DDG memperoleh clean sheet, tambahan pula Wolves turut gagal mengancam pintu gol MU. MU terpaksa menunggu lebih dari 20 minit untuk merobek gawang gol Wolves apabila Evans bijak menyudahkan hantaran Carrick yang berpunca dari sepakan sudut Rooney. Gol tersebut bukan sahaja membakar semangat MU untuk terus memburu gol, malah mengendurkan sedikit tekanan yang cuba diberikan oleh Wolves.

Situasi Wolves bertambah buruk apabila pemain pertahanannya, Zubar diarahkan keluar padang setelah menerima layangan kad merah. Selepas itu, MU bermain dengan baik bagi menjaringkan lebih banyak gol di mana Rooney memainkan peranan dengan begitu berkesan dalam menggerakkan serangan MU.

Kehadiran semula Valencia benar-benar memberikan kekuatan kepada MU apabila banyak serangan dilakukan dari sebelah kanan. Hasil serangan balas yang cepat dilancarkan oleh MU, Valencia menambahkan jaringan gol MU menerusi gol solo yang menarik.

Carrick dan Scholes beraksi dengan baik di mana Scholes membuka permainan MU dari bawah manakala Carrick diberikan lesen untuk beroperasi lebih ke hadapan bagi membantu serangan. Welbeck yang turut cemerlang beraksi di sayap kiri menjaringkan gol ketiga MU selepas menerima hantaran silang Valencia.

Pada separuh masa kedua, MU kelihatan memperlahankan rentak permainan. Namun, dua gol lagi berjaya dihasilkan apabila Chicharito menampakkan ketajamannya dalam kotak penalti lawan. Pada ketika MU mendahului 5-0, bola lebih banyak berlegar-legar di kawasan tengah padang tatkala MU cuba untuk memiliki majoriti penguasaan bola.

MU seharusnya menunjukkan nafsu yang lebih bagi menjaringkan lebih banyak gol. Ini adalah kerana terdapat perbezaan gol MU dan Man City yang ketara. Namun, mungkin yang lebih penting adalah mendapatkan tiga mata bagi terus mengungguli carta BPL.

Usaha gigih Evans sepanjang menyarung jersi MU selama ini membuahkan hasil apabila berjaya menyumbangkan gol pertama buat MU. Aksi Evans di samping Ferdinand telah membuatkan para peminat lupa bahawa MU tidak dapat menggunakan khidmat Vidic memandangkan Evans pada musim ini amat memberangsangkan. 

Selain Evans, ketiadaan Valencia sememangnya dirindui dan sekaligus mempengaruhi serangan MU. Corak permainan Valencia yang direct and simple amat diperlukan oleh barisan serangan MU terutamanya ketika tewas 2-3 di tangan Atletic Bilbao.

Secara keseluruhannya, MU berjaya mengukuhkan kedudukan selaku peneraju BPL ketika ini. Kedudukan tersebut seharusnya dikekalkan sehingga bulan Mei ini. Di samping itu, MU perlu memberikan perhatian kepada enam lagi perlawanan sebelum bertemu dengan Man City yang dilihat sebagai perlawanan yang bakal menentukan pasukan mana yang menjuarai BPL musim ini.


Pemain terbaik perlawanan:

Antonio Valencia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan