Selasa, 27 Mac 2012

Review: MU vs Fulham - BPL


Keputusan perlawanan:

Manchester United 1
Wayne Rooney 42'

Fulham 0



Ulasan perlawanan:

MU kembali memintas Man City untuk berada di tangga teratas BPL apabila mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Fulham dalam perlawanan yang berlangsung di OT. Kemenangan tersebut membolehkan MU mempunyai kelebihan tiga mata ke atas Man City walaupun suatu ketika dulu, MU ketinggalan lapan mata dengan Man City.

Selepas mengetahui Man City hanya mampu seri 1-1 dengan Stoke City, MU melihat pertemuan dengan Fulham untuk mencari tiga mata penuh bagi memastikan MU mempunyai jurang perbezaan mata. Jesteru itu, SAF menurunkan kesebelasan yang agak kuat untuk bertemu Fulham bagi mengelakkan MU tidak berputih mata di halaman sendiri.

MU menguasai sebahagian besar permainan terutamanya dalam masa 60 minit perlawanan tetapi gagal menembusi kekentalan benteng pertahanan dan penjaga gol Fulham. MU hanya mampu menjaringkan satu gol, itupun menerusi Rooney yang menyudahkan hantaran Evans selepas berlaku kekalutan dalam kotak penalti Fulham.

Selepas itu, serangan demi serangan yang dilakukan oleh MU tidak menghasilkan gol tambahan buat MU dan seterusnya membolehkan Fulham memperkemaskan permainan dan mula membuat ancaman ke arah pintu gol MU terutamanya melalui serangan pantas. Walaubagaimanapun, MU seharusnya mengucapkan terima kasih kepada gandingan Evans dan Ferdinand yang tangkas menangani segala ancaman Fulham.

MU ternyata menampakkan perbezaan dalam corak permainan apabila Valencia beraksi di sayap kanan. Setiap kali MU melancarkan serangan, Valencia menjadi watak penting, bukan sahaja dalam membuat larian-larian pantas yang dapat mengucar-kacirkan pertahanan Fulham, malah hantaran silangnya juga boleh dikatakan efektif. Cuma, kepantasan pertahanan Fulham sahaja dapat memintas hantaran tersebut selain kegagalan penyerang MU untuk menghidu hantaran Valencia.

Ferdinand dan Rooney tidak menghabiskan 90 minit masa perlawanan kerana masing-masing dikeluarkan atas sebab mengelakkan kecederaan dan keletihan. Walaubagaimanapun, ketiadaan mereka berdua sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran dalam 10 minit terakhir apabila Fulham cuba untuk menafikan kemenangan buat MU.

Tatkala Fulham bermain dengan kemas terutamanya di bahagian tengahnya, MU pula kerap kehilangan bola. Akibatnya, Fulham nyaris dihadiahkan sepakan penalti selepas Carrick mengasari pemain tengah Fulham, Murphy dalam kotak penalti MU. MU bernasib baik apabila pengadil perlawanan tidak mengendahkan kehendak Fulham dan meneruskan perlawanan. 

Secara keseluruhannya, kegagalan MU untuk mencari gol tambahan bagi menidakkan respons daripada pihak lawan mengakibatkan MU sedikit tertekan ketika perlawanan menghampiri wisel penamat. MU seharusnya mempergunakan peluang-peluang yang dihasilkan untuk menjaringkan gol. Walaubagaimanapun, misi memburu tiga mata penuh tercapai dan membolehkan MU berada dalam kedudukan yang sedikit selesa bagi mengharungi bagi lapan perlawanan lagi sebelum menjulang kejuaraan BPL musim ini.


Pemain terbaik perlawanan:

Mark Schwarzer

Tiada ulasan:

Catat Ulasan