Isnin, 12 Mac 2012

Review: MU vs West Bromich Albion - BPL



Keputusan perlawanan:

Manchester United 2
Wayne Rooney 35', 71'

West Bromich Albion 0



Ulasan perlawanan:

MU sedikit tertekan untuk menghadapi West Bromich Albion (WBA) selepas mengalami kekalahan kepada Atletic Bilbao dalam saingan UEL. Ini adalah kerana kekalahan tersebut dialami di halaman sendiri sekaligus menimbulkan sedikit kerunsingan kepada SAF terhadap persembahan MU di OT pada musim ini.

Jadi, SAF kembali menyenaraikan muka-muka lama seperti Ferdinand, Scholes dan Carrick dalam kesebelasan utama MU bagi memastikan MU mencatatkan kemenangan ke atas WBA. Namun, ketiadaan Nani dan Valencia menyebabkan SAF terpaksa memberikan posisi sayap kanan kepada Welbeck yang sebelum ini lebih bertindak selaku penyerang MU.

MU bermula dengan rentak yang agak perlahan dalam 20 minit pertama. Ini membolehkan WBA memiliki sebahagian besar penguasaan bola dan cuba untuk mengancam gawang gol MU. Tetapi dengan ketenangan yang ditunjukkan oleh Ferdinand yang mengepalai bahagian pertahanan MU, WBA gagal untuk merobek gawang gol MU. Kehadiran semula Ferdinand benar-benar memberikan kestabilan kepada pertahanan MU dan aksi tenangnya mempengaruhi keyakinan pemain muda seperti Jones dan Evans.

DDG kini berada di kelas tersendiri kerana berjaya membalas kepercayaan SAF terhadap dirinya dengan memberikan persembahan yang mantap. Ternyata DDG sudah mula menunjukkan kematangan dan kemampuannya untuk berhadapan dengan corak permainan dalam BPL. Jones yang dalam perlawanan terdahulu beraksi di bahagian tengah telah bermain dengan baik di posisi rightback. Jones bijak memberikan bantuan kepada Welbeck dengan menggerakkan bahagian kanan MU.

Bahagian tengah MU yang dikemudikan oleh Carrick dan Scholes benar-benar memberikan kelebihan kepada MU. Scholes memainkan peranan yang berkesan dalam membuat hantaran bagi melancarkan serangan. Carrick pula bijak memberikan perlindungan kepada barisan pertahanan selain menguasai kawasan tengah. 

Young mencuri tumpuan dengan larian dan gelecekan yang kerap mengucar-kacirkan pertahanan WBA. Sepakan penalti yang dihadiahkan kepada MU merupakan hasil daripada usaha Young yang cuba disekat oleh WBA. MU juga sepatutnya memperoleh lebih dari dua gol jika Welbeck berupaya menyudahkan peluang yang terhidang. Namun, sumbangan Welbeck di sayap kanan tidak boleh dinafikan.

Rooney sekali lagi menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan, mengulangi prestasinya ketika bertemu Atletic Bilbao. Ketajaman yang ditunjukkan oleh Rooney telah membolehkan MU mencatatkan kemenangan. Sepertimana Welbeck, Chicharito turut gagal mencatatkan nama sebagai penjaring gol selepas tidak menyumbangkan gol walaupun mempunyai beberapa peluang keemasan.

Kemenangan MU malam tadi disambut dengan meriah tatkala Man City turut tersungkur di tangan Swansea City. Kini MU diberikan peluang untuk menerajui carta BPL dengan kelebihan satu mata. Jadi, MU seharusnya memastikan peluang tersebut tidak disia-siakan dengan mengelakkan diri daripada mencicirkan sebarang mata bagi menjamin kejuaraan BPL kali ke 20.


Pemain terbaik perlawanan:

Wayne Rooney

p/s: Scholes dan Young juga boleh ditabal sebagai pemain terbaik perlawanan kerana keberkesanan permainan masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan