Khamis, 18 April 2013

Review: MU vs West Ham United (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 2
Valencia 31'
v. Persie 77'

WEST HAM UNITED 2
Vaz Te 17'
Diame 55'



Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

ANDY CARROLL


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Giggs >> Rooney
Chicharito >> Kagawa


Ulasan perlawanan:

Sepertimana yang telah dijangkakan, MU terpaksa bekerja keras dalam perlawanan awal pagi tadi untuk berkongsi satu mata dengan West Ham United (WHU) selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2. Walaupun menampilkan corak permainan seperti Stoke City iaitu hantaran jauh tinggi ke dalam kotak penalti lawan, WHU berjaya mempelbagaikan corak serangan seterusnya menyukarkan MU untuk mengekang pergerakan Carroll.

WHU sememangnya patut mengecapi kemenangan tetapi dihampakan apabila gol penyamaan MU yang dijaringkan oleh RVP adalah berpunca dari kedudukan offside RVP diterima oleh pengadil perlawanan. Walaupun MU dilihat memiliki peratusan penguasaan bola yang tinggi, tetapi serangan dan asakan WHU tampak lebih merbahaya berbanding MU yang kebanyakan hantaran akhirnya tersangkut ataupun berjaya dihalang oleh kecemerlangan pertahanan WHU.

WHU terlebih dahulu membuat kejutan apabila meledakkan gol pertama perlawanan. Kesilapan Rafael untuk berada di posisi tidak sepatutnya menyebabkan Ferdinand terpaksa berhadapan dengan Jarvis yang kemudiannya bijak membuat hantaran silang ke dalam kotak penalti MU. Carroll yang cuba dihalang oleh Evra tidak menghadapi masalah untuk menyambut bola hantaran silang Jarvis dengan menanduk ke arah pintu gol MU. Vaz Te yang tidak dikawal pantas meluru untuk melayangkan badan bagi membuat tandukan membolehkan bola menerjah jaring gol.

MU cuba bangkit dan memperkemaskan permainan tetapi gandingan Jones dan Carrick tidak begitu efektif dalam menggerakkan serangan MU dari bahagian tengah. Ini menyebabkan Rooney kerap berada di kedudukan terkebelakang sekaligus membiarkan RVP keseorangan di bahagian serangan. Corak permainan MU cukup perlahan dan ini memberikan ruang kepada WHU menunjukkan persembahan yang cukup disiplin di bahagian pertahanan.

Gol pertama MU akhirnya dihasilkan apabila hantaran pantas berjaya dilakukan. RVP bijak melorongkan bola kepada Kagawa yang kemudiannya bergerak ke dalam kotak penalti WHU sebelum menyilangkan bola kepada Valencia yang tidak dikawal. Valencia mudah menolak bola ke dalam gawang WHU untuk menjadikan kedudukan semasa 1-1.

Kedua-dua pasukan cuba menambahkan jaringan masing-masing tetapi gagal berbuat demikian sehingga tamat separuh masa pertama. MU bermula garang sebaik separuh masa kedua tetapi WHU sekali lagi berjaya mendahului MU apabila Diame yang bijak mengelirukan Rooney sebelum melepaskan rembatan lencong menarik melepasi jangkauan DDG.

MU jelas tertekan dengan gol tersebut dan mula berusaha mendapatkan cengkaman dalam perlawanan. Namun begitu, akibat corak permainan yang perlahan ditunjukkan sepanjang perlawanan, langsung tidak banyak membantu MU.

Kagawa boleh dikatakan pemain terbaik MU dalam perlawanan awal pagi tadi apabila mempamerkan kebolehannya dalam menggerakkan serangan MU. Gol kedua MU diperoleh selepas Kagawa yang pantas menggelecek pertahanan WHU sebelum merembat deras ke arah pintu gol WHU. Tetapi bola terkena tiang kanan dan kiri gol sebelum melantun semula ke dalam kotak penalti. RVP yang berada di kedudukan offside merembat bola untuk gol penyamaan MU.

MU perlu mempertingkatkan lagi persembahan bagi perlawanan BPL seterusnya apabila menentang Aston Villa di OT. Jika Man City tewas kepada Spurs pada hari Ahad, MU perlu menumpaskan Aston Villa untuk mengesahkan kejuaraan BPL mudim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan