Isnin, 29 April 2013

Review: MU vs Arsenal (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 1
v. Persie 44' (pen)

ARSENAL 1
Walcott 2'



Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

PHIL JONES


Kesebelasan utama MU:



Pertukaran pemain:

Anderson >> Rafael
Giggs >> Nani
Chicharito >> Rooney


Ulasan perlawanan:

Setelah mengesahkan kejuaraan BPL kali ke-20, MU melangkah ke dalam padang di Stadium Emirates dengan para pemain Arsenal memberikan tepukan tahniah. Walaubagaimanapun, sebahagian peminat The Gunners telah menyorak 'boo' kepada RVP memandangkan RVP meninggalkan Arsenal pada musim lepas untuk menyertai MU.

Sebaik wisel permulaan ditiupkan, Arsenal menampilkan corak permainan pantas tatkala MU masih lagi tercari-cari rentak. Akibat RVP yang kehilangan penguasaan bola di kawasan tengah padang, Arsenal pantas melancarkan serangan. Hasilnya, Walcott yang bijak melepasi perangkap offside MU pantas meluru untuk menerima umpanan Cazorla sebelum merembat rendah melepasi jangkauan DDG.

Arsenal cuba menambah jaringan sebaik sahaja gol pertama berjaya dijaringkan. Walaubagaimanapun, MU yang bermula perlahan memperkemaskan permainan dan mula mengancam gawang gol Arsenal. Carrick memainkan peranan yang cukup penting dalam menggerakkan serangan MU melalui hantaran jauh yang tepat.

Jones dilihat bekerja keras di serata padang dan rajin bergerak ke atas membantu serangan. Jones nyaris-nyaris menjaringkan gol penyamaan buat MU tetapi tandukannya tersasar. Selain itu, Jones turut berkesan ketika mengekang pergerakan bahagian tengah Arsenal serta kerap merampas bola dari kaki pemain lawan.

MU cuba memberikan tekanan kepada Arsenal dari kawasan atas lagi. Hasilnya, kesilapan Sagna yang cuba membuat hantaran ke belakang berjaya dipintas oleh RVP yang kemudiannya membawa bola ke dalam kotak penalti Arsenal. Sagna cuba merampas bola daripada RVP tetapi telah melakukan kekasaran kepada RVP yang mengakibatkan RVP terjatuh dalam kotak penalti.

Pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada MU yang disempurnakan oleh RVP. RVP dengan tenang menyepak masuk bola walaupun sepanjang perlawanan RVP telah diejek sehinggakan kadang-kala RVP kelihatan tertekan ketika beraksi.

Separuh masa kedua, permainan tampak seimbang buat kedua-dua pasukan. MU dilihat mampu mengutip tiga mata penuh apabila banyak serangannya lebih berbahaya berbanding Arsenal. Namun, kecekapan penjaga gol Arsenal menidakkan beberapa peluang keemasan yang dicipta oleh MU.

Beberapa keputusan pengadil perlawanan boleh dipertikaikan apabila dilihat lebih mudah untuk memberikan foul dan melayangkan kad kepada pemain MU. MU yang diketahui mempunyai rekod disiplin perlawanan yang baik untuk musim ini telah menerima lima layangan kad kuning bagi perlawanan malam tadi.

Kini, sasaran MU untuk memecahkan rekod pengumpulan mata yang dicatatkan oleh Chelsea tidak tercapai selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Arsenal. Walaubagaimanapun, dengan kejuaraan telahpun digapai, MU bolehlah dianggap bermain untuk melengkapkan jadual perlawanan selain memberikan peluang kepada pemain-pemain untuk beraksi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan