Isnin, 13 Februari 2012

Review: MU vs Liverpool - BPL

Keputusan perlawanan:

Manchester United 2
Wayne Rooney 47', 50'

Liverpool 1
Luis Suarez 80'




Ulasan perlawanan:

Insiden Suarez tidak mahu berjabat tangan dengan Evra sebelum wisel permulaan ditiupkan sedikit pun tidak menjejaskan kehangatan perlawanan antara MU dan Liverpool. Perlawanan ini amat dinantikan memandangkan Suarez akan berhadapan Evra semula buat pertama kalinya selepas menjalani pergantungan perlawanan selain para peminat MU menganggap perlawanan di OT itu bakal menjadi misi balas dendam di atas kekalahan MU di tangan Liverpool dalam pusingan keempat Piala FA.

SAF membuat sedikit perubahan terhadap kesebelasan utama MU ketika bertemu Chelsea apabila merehatkan Young dan digantikan dengan Scholes. Kehadiran Scholes di bahagian tengah menyaksikan Giggs mengisi tempat di sayap kiri. Ini merupakan keputusan yang tepat daripada SAF kerana Young dilihat tidak berkesan ketika bertemu Chelsea baru-baru ini.

Liverpool cuba mengasak pintu gol MU sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan. Seperti biasa, MU memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan rentak permainan dan ruang tersebut cuba diekplotasikan oleh Liverpool. Namun, sebaik sahaja MU memperoleh rentak, penguasaan Liverpool semakin berkurangan dan MU mula mengawal bola terutamanya menerusi gandingan Scholes dan Carrick yang beraksi di bahagian tengah.

Gandingan Rooney dan Welbeck benar-benar menghidupkan serangan MU. Dengan sokongan yang baik daripada Valencia dan Giggs, MU mampu untuk mengancam gawang Liverpool. Namun, MU gagal memecahkan kebuntuan apabila kedua-dua pasukan melangkah ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama di keputusan masih 0-0.

Separuh masa kedua memberikan aksi yang cukup berbeza berbanding separuh masa pertama. Kedua-dua pasukan saling melancarkan gerakan. Hasil sepakan sudut yang diperoleh, MU berjaya menjaringkan gol sulung menerusi Rooney yang bijak menyambar bola dengan merembat deras melepasi Reina. Sejurus gol tersebut, MU tampak bernafsu untuk terus memburu gol. Kepantasan Valencia untuk mencuri bola yang terlepas daripada kawalan pemain Liverpool telah membolehkan Rooney menjaringkan gol kedua MU.

MU memperlahankan sedikit rentak permainan selepas mendahului Liverpool dengan 2-0. Ferdinand dan Evans beraksi dengan mantap kerana berjaya mengekang pergerakan Gerrard dan larian Suarez. Kemasukan Bellamy dan Carroll telah membolehkan Liverpool kembali mengancam pintu gol MU di mana sebelum ini DDG tidak perlu dikerahkan untuk bekerja keras.

Sepakan percuma yang diberikan oleh pengadil kepada Liverpool ternyata digunakan dengan sebaik mungkin apabila Liverpool berjaya memperoleh gol menerusi Suarez. Namun, MU kembali memperkemaskan permainan dengan cuba bermain mudah bagi mengelakkan sebarang kesilapan yang dapat mengundang padah. 

MU menunjukkan persembahan yang cemerlang sepanjang perlawanan. Ianya merupakan kesinambungan daripada prestasi baik yang ditunjukkan ketika seri 3-3 dengan Chelsea. Rooney terutamanya telah membuktikan kemampuannya apabila sekali lagi menjaringkan dua gol ketika berhadapan dengan pasukan lawan yang kuat.


Pemain terbaik perlawanan:

Wayne Rooney


Gambar perlawanan:

 Rooney menjaringkan gol sulung MU

 Rooney menyudahkan hantaran Valencia untuk gol kedua MU

Suarez mengurangkan defisit gol apabila menjaringkan gol tunggal Liverpool

1 ulasan:

  1. satu je aku boleh kata..puas hati mlm tu,dgn kedah pun dh ok men,jenuh kalih tv..uhhuhu.mlm ni nk bg puashati lg nk tgok apa kata seelan paul lak mlm ni di kakibola..hahaha

    BalasPadam