Rabu, 15 Februari 2012

Kebangkitan skuad KENARI


Kedah kini menampakkan peningkatan dalam dua perlawanan yang disertai oleh pemain import yang baru. Kehadiran Safi Abdelfatah dan Mohamed Hamidan dilihat mampu untuk mengembalikan reputasi Kedah yang sebelum ini tercalar kerana berada di kelompok bawah LSM 2012.

Sebaik sahaja diberikan lampu hijau oleh FAM, Safi diturunkan buat kali pertama ketika Kedah bertemu Sabah di Stadium Darul Aman baru-baru ini. Ternyata, Safi beraksi dengan baik apabila menjadi penggerak dan perancang kepada corak permainan Kedah. Safi bijak membuka permainan Kedah dengan hantaran-hantaran yang kemas. Selain itu, Safi juga kelihatan mempunyai semangat juang yang tinggi apabila berada hampir serata ceruk padang.

Dengan adanya Safi, Kedah sekurang-kurangnya dapat menarik nafas lega kerana mempunyai tenaga kreativiti selain daripada kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar. Kedah sebelum ini begitu menagih kudrat Baddrol sehingga gagal beraksi dengan baik apabila Baddrol tidak dapat beraksi.

Perlawanan malam tadi di Kuala Terengganu menyaksikan Kedah menurunkan seorang lagi pemain import baru, Hamidan. Dengan memiliki susuk tubuh yang tegap, Hamidan diharapkan dapat mengulangi prestasi bekas pemain import kedah, Marlon Alex James yang meledakkan banyak gol buat Kedah terutamanya pada musim Double Treble.

Hamidan mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Kedah memandangkan bukan sahaja baru menyarung jersi hijau kuning, malah jurulatih Kedah iaitu Wan Jamak turut kembali mengendalikan Kedah selepas digantung tujuh perlawanan.

Dengan dua pemain import baru serta kembalinya Wan Jamak, Kedah kini mempunyai ramuan yang secukupnya untuk memperkemaskan aksi seterusnya memberikan persembahan yang lebih konsisten. Jika Kedah mampu bermain dengan baik dan mungkin berjaya mencatatkan beberapa siri kemenangan, tidak mustahil para penyokong hijau kuning akan kembali membanjiri Stadium Darul Aman dan memberikan sokongan padu kepada skuad Kenari.

PULUN KEDAH PULUN!!!!

p/s: Gambar: kredit to GSN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan