Selasa, 8 Oktober 2013

Dah sampai separuh akhir dah


Kini saingan Piala Malaysia 2013 sudahpun sampai ke peringkat separuh akhir dengan menemukan ATM dengan Kelantan dan Pahang menentang Sarawak. Keempat-empat pasukan boleh dikatakan layak untuk melepasi peringkat suku akhir baru-baru ini berdasarkan persembahan masing-masing yang cukup memberangsangkan.

Kelantan ternyata mencuri tumpuan apabila berjaya menumpaskan JDT dengan keputusan besar 6-1 sekaligus memenangi secara aggregat 8-5. Sebelum perlawanan pusingan kedua, JDT tampak yakin untuk layak ke separuh akhir selepas memiliki defisit dua gol selepas mencatatkan kemenangan 4-2 di Johor. Namun, Kelantan membuktikan statusnya selaku juara bertahan untuk mencipta kemenangan bergaya dengan mengetepikan JDT yang merupakan pasukan yang dibarisi pemain ternama negara.

Marlon pula menjadi wira apabila ATM membenam juara Liga Super 2013, Lions XII dengan meledakkan hatrik. Walaupun kecundang 0-1 di Singapura, keputusan tersebut tidak menjejaskan tumpuan ATM untuk mendapatkan kemenangan 4-1 ketika kedua-dua pasukan bertemu di Selayang, di hadapan ribuan penyokong ATM.

Pahang membuktikan kemampuan di bawah kendalian Dollah Salleh apabila mencatatkan kemenangan dalam kedua-dua perlawanan dengan mengetepikan cabaran PKNS Selangor. Gandingan tenaga pemain muda dan kecemerlangan pemain import membolehkan Pahang melangkah ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun.

Sarawak menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mencipta kemenangan 3-1 ke atas Sime Darby FC bagi melayakkan diri ke separuh akhir. Sepertimana ATM, pemain import, Salibasic memainkan watak penting buat Sarawak dengan menjaringkan dua gol bagi membolehkan Sarawak menundukkan Sime Darby FC.

18 Oktober ini akan menyaksikan perlawanan pusingan pertama peringkat separuh akhir. ATM dan Pahang terlebih dahulu akan menjadi tuan rumah kepada Kelantan dan Sarawak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan