Rabu, 6 Mac 2013

Review: MU vs Real Madrid (UCL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 1
Ramos 48' (o.g.)

REAL MADRID 2
Modric 66'
Ronaldo 69'


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

DIEGO LOPEZ


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Rooney >> Cleverley
Valencia >> Rafael
Young >> Welbeck


Ulasan perlawanan:

Walaupun beraksi dengan baik sepanjang perlawanan, MU akhirnya tersungkur di halaman sendiri kepada Real Madrid (RM) dalam perlawanan kedua peringkat kalah mati. Kekalahan 1-2 mengakibatkan MU gagal layak ke saingan suku akhir selepas tewas 2-3 secara agregat.

SAF membuat kejuatan apabila tidak menurunkan Rooney mahupun Kagawa dalam kesebelasan utama MU dalam menentang RM walaupun kedua-dua mereka menampilkan persembahan yang cukup baik ketika beraksi dengan Norwich City pada hujung minggu lepas. Walaubagaimanapun, Welbeck dan Nani yang disenaraikan dalam kesebelasan utama MU membalas kepercayaan SAF dengan persembahan yang cukup mantap.

Welbeck memainkan peranan yang cukup berkesan apabila menghadkan pergerakan Alonso daripada membuka permainan RM di samping bijak membuat larian ketika MU melancarkan serangan balas pantas.. Sepertimana Welbeck, Nani juga boleh dianggap menjadi senjata utama MU dalam melancarkan serangan balas.

Pertahanan MU harus diberikan pujian di mana Ferdinand dan Vidic beraksi dengan begitu mantap terutamanya ketika MU masih bermain dengan sebelas pemain. DDG boleh dikatakan tidak banyak diancam oleh RM dan dua gol yang dilepaskannya tidak harus dipersalahkan kepada DDG.

Dengan membuat penampilan kompetitif ke-1000 buat kelab dan negara, Giggs menunjukkan semangat juang tinggi yang seharusnya menjadi teladan buat pemain muda. Walaupun usia hampir mencecah 40 tahun, Giggs masih lagi berupaya berlari ke serata ceruk padang bagi membantu pasukan sama ada ketika bertahan mahupun menyerang.

Keputusan pengadil dari Turki yang cukup kontroversi mengakibatkan MU beraksi selama lebih 30 minit dengan kekurangan seorang pemain selepas Nani dilayangkan kad merah. RM ternyata mengambil kesempatan kelebihan seorang pemain dan mula mengancam MU dengan serangan bertali arus.

Hasilnya, RM berjaya mendapatkan dua gol berharga dalam masa tiga minit. RM menyamakan kedudukan menjadi 1-1 selepas Modric yang bijak menggelecek bola melepasi dua halangan pemain MU melepaskan rembatan dari luar kotak penalti melepasi jangkauan DDG lalu menerjah jaring gol MU.

Ketiadaan Nani ternyata menyebabkan permainan MU yang sebelumnya cukup kemas menjadi longgar dan kelam kabut menghadapi larian bijak Ozil dan Higuan. Sepertimana tiga minggu lalu, Ronaldo sekali lagi menjaringkan gol yang mengecewakan MU apabila mudah menolak masuk hantaran silang Higuan. Gol tersebut menyentap semangat MU yang kemudiannya cuba menunjukkan kebangkitan dalam 10 minit terakhir perlawanan.

Percubaan demi percubaan dilakukan MU bagi memburu gol tetapi kecekapan penjaga gol RM benar-benar menghampakan MU. Kekecewaan jelas dapat dilihat dari riak wajah MU kerana segala usaha yang dihasilkan gagal memecahkan kebuntuan. Impian untuk menjulang kejuaraan UCL musim ini hancur dek kerana keputusan pelik pengadil yang seterusnya merencatkan permainan dan taktikal berkesan MU yang kemudiannya memberikan peluang kepada RM untuk menjaringkan dua gol.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan