Jumaat, 29 Mac 2013

Preview: MU vs Sunderland (BPL)


Saingan BPL kembali bersambung pada hujung minggu ini selepas memberikan laluan kepada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2014. MU bakal berhadapan tugas yang agak berat kerana akan beraksi dua perlawanan dalam tempoh tiga hari.



MU akan berkunjung ke Stadium of Light bagi bertemu dengan Sunderland bagi perlawanan ke-30 BPL. Pada musim lalu, di Stadium of Light menyaksikan MU terlepas kejuaraan BPL kepada Man City walaupun berjaya mengalahkan Sunderland. Jadi, keperitan yang dilalui ketika itu sedikit sebanyak dijangkakan memberikan kesan kepada mentaliti pemain MU. Walaubagaimanapun, MU pastinya berazam untuk tidak mengulangi episod sedih itu dengan meneruskan rentak kemenangan.

SAF perlu melakukan pemilihan pemain dengan berhati-hati kerana jadual perlawanan yang padat. Ini adalah kerana sebahagian besar pemain MU telahpun beraksi untuk negara masing-masing untuk dua perlawanan. Jadi, untuk beraksi pula dua lagi perlawanan dalam tempoh tiga hari, ianya sesuatu yang amat mencabar bukan sahaja dari segi kecergasan, malah memenatkan mental para pemain.

SAF berkemungkinan besar akan menggunakan dua kesebelasan utama yang berbeza untuk bertemu dengan Sunderland dan Chelsea. Rasanya, SAF lebih memberikan perhatian kepada persediaan menentang Chelsea dalam perlawanan ulangan suku akhir Piala FA memandangkan beberapa pemain utama MU seperti Rooney, Carrick dan Ferdinand masih belum merasai kejuaraan tersebut.

Namun begitu, SAF juga tidak akan memandang rendah terhadap perlawanan dengan Sunderland. Walaupun MU kini agak selesa di persada liga dengan kelebihan 15 mata, MU perlu memastikan perolehan tiga mata penuh bagi mengelakkan Man City merapatkan kedudukan. Sunderland dilihat akan berjuang dengan habis-habisan kerana kedudukan mereka dalam liga tidak begitu selamat dari zon penyingkiran.

MU menerima khabar gembira apabila Scholes dikatakan boleh beraksi semula selepas tersisih selama dua bulan akibat kecederaan lutut. Selain Scholes, Jones juga telah kembali pulih dan kemungkinan besar akan beraksi hujung minggu ini di pertahanan tengah bersama Evans.

DDG akan direhatkan dan akan memberikan laluan kepada Lindegaard untuk mengawal gawang gol MU. Smalling dan Buttner akan mengambil tempat masing-masing di pertahanan kanan dan kiri. Bahagian tengah pula akan menyaksikan MU meletakkan lima pemain dengan Cleverley dan Anderson akan beraksi di belakang Scholes sementara Young dan Nani akan mengapit mereka bertiga. Chicharito akan beraksi selaku penyerang tunggal bagi merobek pertahanan Sunderland.

MU mungkin berasa sedikit lega apabila mendapat berita tentang kecederaan menimpa penyerang utama Sunderland, Fletcher dan kapten pasukan, Cattermole. Kedua-dua mereka tidak akan beraksi sehingga tamat musim ini. Ketiadaan dua tonggak utama ini sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada MU dalam perlawanan yang dilangsungkan paling awal pada hujung minggu ini.


Jangkaan kesebelasan utama MU:



Jangkaan perlawanan dan keputusan:

MU hanya perlu memastikan Sunderland tidak membocori gawang MU dalam 30 minit pertama. MU pula harus menguasai kawasan tengah padang jika ingin menewaskan Sunderland. Aku menjangkakan MU mampu melebarkan lagi rekod kemenangan menerusi kemenangan tipis 2-1 ke atas Sunderland dengan gol dijaringkan oleh Cleverley dan Chicharito.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan