Isnin, 18 Mac 2013

Review: MU vs Reading (BPL)


Keputusan perlawanan:

MANCHESTER UNITED 1
Rooney 21'

READING 0


Pemain terbaik perlawanan (pilihan MBD):

RIO FERDINAND


Kesebelasan utama MU:


Pertukaran pemain:

Kagawa >> Anderson
Carrick >> Young


Ulasan perlawanan:

Gol tunggal yang diledakkan oleh Rooney sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh kepada MU bagi menundukkan Reading di OT. Dengan tiga mata penuh tersebut, kini MU berkelebihan 15 mata meninggalkan Man City di tangga kedua tatkala saingan BPL kini berbaki 9 perlawanan.

MU terpaksa bekerja keras apabila Reading menunjukkan permainan yang cukup disiplin dan berkesan sekaligus menyebabkan MU gagal merobek pertahanan Reading walaupun memiliki sebahagian besar penguasaan bola. Reading juga berjaya mengancam kubu pertahanan MU beberapa kali tetapi kekentalan yang ditunjukkan oleh gandingan senior iaitu Ferdinand dan Vidic menghalang Reading daripada membolosi gawang MU.

Ferdinand seolah-olah meraikan panggilannya ke skuad utama England dengan mempamerkan persembahan yang benar-benar mantap. Kecemerlangan Ferdinand bukan sahaja di bahagian pertahanan malah mampu untuk membantu Rooney menjaringkan gol kemenangan buat MU.

Gandingan Giggs dan Anderson tidak begitu menjadi apabila kedua-dua mereka tidak membolehkan MU menguasai kawasan tengah padang. Anderson lebih gemar untuk melakukan hantaran ke hadapan dengan cepat yang menyebabkan Young agak tersisih kerana tidak memperoleh bola di sebelah tepi manakala Welbeck terpaksa bergerak ke tengah untuk mendapatkan bola.

Corak permainan yang tidak begitu tersusun menyebabkan RVP boleh dikatakan mengalami perlawanan yang senyap. Rooney pula tidak banyak menggerakkan serangan kerana kawalan ketat oleh pertahanan Reading. MU cuba melancarkan serangan tetapi ketidakberkesanan membuat hantaran akhir menyebabkan serangan MU tidak begitu berbisa.

Walaubagaimanapun, kemenangan ke atas Reading meneruskan rentak cemerlang MU dalam BPL apabila sejak tewas 0-1 kepada Norwich City pada bulan November lalu, MU masih belum tewas dalam 19 perlawanan di mana 17 kemenangan dan 2 seri berjaya dicatatkan. 

MU kini boleh dikatakan meletakkan satu tangan kepada kejuaraan BPL musim ini dan fokus sepenuhnya perlu diberikan kepada pertemuan ulangan dengan Chelsea bagi memastikan kejuaraan berganda buat MU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan