Khamis, 24 Oktober 2013

Kenyataan Media oleh Gabungan Kelab Penyokong Kedah


MAKLUMAT TERKINI PASUKAN HIJAUKUNING HASIL DARI PERTEMUAN ANTARA WAKIL GABUNGAN DAN PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH (KFA)

Seperti yang semua penyokong hijaukuning sedia maklum, satu mesyuarat telah berlangsung antara wakil gabungan kelab penyokong Kedah dan Setiausaha Kehormat KFA, En. Aminuddin Omar dan juga di sertai oleh Pengurus Pasukan Kedah, Dato' Jeffrey Low Han Chow dan Penolong Pengurus, En. Amirul Nizam Mahdzir di Darulaman Golf Resort jam 5:00 petang tadi.

Hasil dari sidang meja pertemuan, pihak KFA telah menjelaskan beberapa isu berdasarkan tuntutan-tuntutan gabungan kelab penyokong melalui kenyataan media 14 Oktober lepas. Walaupun tidak semua isu dapat diputuskan atau mendapat penjelasan yang lebih meyakinkan, penjelasan dari pihak KFA telah merungkai beberapa isu.

Penjelasan pihak KFA berkenaan tuntutan/desakan kami adalah seperti berikut:

1. MENDEDAHKAN SEGERA PERANCANGAN PASUKAN DARI PEMILIHAN JURULATIH DAN PEMAIN TEMPATAN DAN IMPORT KEDAH UNTUK MUSIM 2014;

Isu Jurulatih:
Seperti makluman KFA sendiri dalam beberapa media cetak sebelum ini di ruangan sukan Sinar Harian dan Harian Metro tempoh hari, KFA sedang menunggu kata putus dari pengurusan pasukan Barclays Liga Premier, Cardiff City FC. Pemilik kelab tersebut, Tan Sri Vincent Tan sendiri akan menguruskan perlantikan jurulatih dari kelab tersebut untuk mengemudi pasukan Kedah.

Isu Pemain Import:
Pihak gabungan juga dimaklumkan pemain import pasukan Kedah untuk musim 2014 turut mendapat sentuhan Cardiff City FC. Pemain import yang akan dipilih nanti adalah dari pasukan utama dan juga berkemungkinan dari skuad simpanan kelab itu. Difahamkan slot pemain import Asia juga bakal dipilih dari kelab Cardiff City FC yang akan melibatkan beberapa pilihan pemain berasal dari Jepun, Korea atau Timur Tengah.

Usaha ini akan diamanahkan kepada Pengurus Pasukan, Dato' Jeffrey Low Han Chow dan En. Amirul Nizam untuk memilih pemain import yang dimaksudkan. Difahamkan kedua-dua mereka akan dihantar ke kelab Inggeris tersebut bagi melihat sendiri pemain yang sesuai dalam masa terdekat. Esok, Setiausaha Kehormat KFA sendiri akan membuat panggilan susulan untuk mendapat maklumbalas pihak Cardiff City FC berkenaan jurulatih dan pemain import bagi mendapat pengesahan seterusnya.

KFA juga memberi jaminan TEMPOH AKHIR 10 hari bermula Jumaat ini untuk memutuskan sama ada usaha membawa tenaga kepakaran dari Cardiff City FC ini akan diteruskan atau tidak. Jadi, tarikh akhir yang diberi oleh KFA kepada pihak Cardiff City FC adalah sehingga 4 November ini dan jika tiada maklumbalas yang meyakinkan, pihak KFA akan menggunakan alternatif lain untuk mengisi slot jurulatih dan 3 pemain import sebelum pendaftaran pemain ditutup 4 Disember ini. Tiada nama khusus dinyatakan sebagai pelan kedua jika usaha membawa pemain Cardiff City FC tidak berhasil petang tadi. Dimaklumkan niat untuk membawa pulang Marlon telah dinyatakan secara lisan tetapi tiada tindakan susulan kerana Marlon masih beraksi bersama ATM.

Isu Pemain Tempatan:
Menurut makluman Dato' Jeffrey, musim depan akan ada perubahan pada senarai pemain tempatan kerana pemain sebelum ini dilihat tiada keserasian ketika beraksi di atas padang. Jadi tindakan pengurusan untuk musim hadapan adalah untuk memastikan pemain-pemain berpengalaman akan diambil untuk menguatkan pasukan Kedah dan antaranya adalah pemain yang pernah beraksi bersama Kedah sebelum ini ketika di era 2007-2008.

Isu Pengurus Pasukan:
Setiausaha Kehormat KFA turut mengesahkan Dato' Jeffrey dan En. Amirul akan diberi mandat untuk mencari dan mengikat pemain tempatan berkualiti bagi mengukuhkan pasukan Kedah musim hadapan. Turut disahkan Dato' Jeffrey akan kekal sebagai Pengurus Pasukan Kedah di musim 2014. Selain itu, tiada nama pemain tempatan yang didedahkan untuk makluman gabungan kelab penyokong.

En.Amirul juga memaklumkan beliau memerlukan 2 minggu lagi untuk menyenarai akhir skuad Kedah untuk musim hadapan. Jaminan beliau, senarai nama penuh pemain tempatan pasukan Kedah di musim 2014 akan dapat diketahui seawal 7 November ini. Beliau turut mengesahkan beberapa pemain utama Kedah di musim 2013 ini turut berjanji untuk kekal bersama skuad hijaukuning bagi musim 2014.


2. PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH LEBIH PRO-AKTIF BUKAN SAHAJA DALAM PENGURUSAN PASUKAN HIJAUKUNING TETAPI TURUT TIDAK KETINGGALAN DALAM PENGURUSAN PENTADBIRAN PERSATUAN;

Isu Penajaan:
Setiausaha Kehormat KFA juga memaklumkan bajet pasukan keseluruhan tahun ini mencecah RM9 juta iaitu kos perbelanjaan anggaran lebih kurang RM600,00.00 sebulan. Itu hanya melibatkan gaji dan tidak termasuk kos-kos berbangkit yang lain. Turut ditekankan bahawa komitmen Presiden KFA tahun ini turut menjadi faktor utama penajaan pasukan dan mungkin tahun hadapan akan melibatkan penaja besar lain selain dari PKNK. Tetapi tiada makluman lanjut berkenaan penaja tersebut. Beliau turut menambah iniadalah usaha peribadi Presiden KFA untuk memastikan pasukan hijaukuning tidak kurang dengan penajaan pihak swasta.

Isu Program Pembangunan:
KFA akan turut menekankan usaha pembangunan peringkat akar umbi. Akademi akan diwujudkan melibatkan pemain U12, U14, U16 mengikut struktur dan acuan Akademi Cardiff City FC. Masih peringkat pelan tindakan untuk dilaksanakan.Ini bagi memastikan pelapis pemain muda Kedah yang berbakat agar dapat menabur bakti suatu hari nanti bersama skuad utama Kedah.

Pelan pembangunan juga turut memberi kesan kepada pemain muda berbakat Kedah berumur 20-25 tahun, pasukan Kedah juga akan terus diperkukuhkan melalui usaha KFA mengikat pemain ini dalam jangka masa panjang dan tidak sewenang-wenangnya mereka ini keluar dari pasukan Kedah. Setiausaha Kehormat KFA sendiri selaku Exco Belia & Sukan Negeri Kedah telah mengarahkan pihak Majlis Sukan Negeri Kedah untuk melaksanakan kembali Sukan Kedah (SUKDA) dan Sukan Daerah untuk mencungkil bakat-bakat terpendam dalam bidang sukan terutamanya bolasepak yang akan dilaksanakan tahun 2014.

Isu infrastruktur Stadium Darul Aman:
Perancangan jangka panjang untuk menaik taraf infrastrktur Stadium Darul Aman seperti surau, bilik persalinan pemain dan sebagainya. Turut ditekan sistem apprentis yang akan dihebahkan tetapi tidak diperincikan kepada wakil gabungan bagaimanakah sistem apprentis tersebut akan dijalankan.


3. INDIVIDU-INDIVIDU TERTENTU DALAM PENTADBIRAN KFA MELETAK JAWATAN;
4. MENYIASAT UNSUR PENYELEWENGAN DALAM KFA.


Isu Individu Yang Culas:

Setiausaha Kehormat KFA berjanji untuk melihat perkara ini dengan serius dan mengambil tindakan sewajarnya tetapi desakan ini tidak dilaksanakan dalam masa terdekat. Tempoh yang singkat dan kesibukan suasana tempatan membataskan satu mesyuarat dijalankan bagi membincangkan isu ini. Ini bagi memberi laluan kepada Piihanraya Kecil (PRK) DUN Sg. Limau kerana ketika ini masa amatlah terhad dan kepentingan lain menjadi keutamaan pihak kerajaan negeri. Beliau sedia maklum dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak gabungan kelab penyokong berkenaan dengan sikap pegawai tertentu yang perlu mendapat perhatian serius untuk menyiasat aduan penyokong hijaukuning. Walaubagaimanapun beliau menekankan hanya dapat menjalankan siasatan aduan tersebut sekadar mampu mengikut bidang kuasa beliau sebagai Setiausaha Kehormat KFA. Jaminan beliau perkara ini akan diselesaikan dalam masa terdekat untuk memuaskan hati semua pihak.

Beliau juga turut berjanji untuk mengambil tindakan tegas jika ada asas aduan oleh gabungan kelab penyokong hijaukuning. Apapun mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut selepas PRK nanti.

RUMUSAN PERTEMUAN DAN TINDAKAN KAMI:

Pihak Gabungan Kelab Penyokong Kedah menerima penjelasan KFA dengan hati terbuka tetapi tidak berpuas hati dengan beberapa aspek dimana sehingga ke hari ini tiada pengesahan mengenai jurulatih dan pemain tempatan dan import. Tempoh 1 bulan 10 hari untuk mempersiapkan pasukan adalah tempoh yang singkat. Usaha yang dilakukan masih dalam peringkat awal dan TEMPOH AKHIR yang diberikan sehingga 4 November ini (Isu Jurulatih Dan Pemain Import) dan 7 November (Senarai Akhir Pemain Tempatan) ini akan menjadi kayu pengukur setakat mana pasukan bersedia untuk menghadapi musim 2014. Pihak kami akan terus mendesak dan terus memerhati bagi memastikan tiada tangan-tangan ghaib yang mengacau persiapan pasukan hijaukuning untuk musim 2014.

Justeru itu, pihak gabungan kelab penyokong Kedah tidak teragak-agak untuk melakukan demo, bantahan dan kempen seterusnya jika tiada perkembangan positif pasukan Kedah. Masa akan menentukannya. Tuntutan kami akan diteruskan sehingga mendapat maklumbalas dan tindakan yang wajar dari KFA.

SELAMATKAN BOLASEPAK KEDAH!

Kenyataan media ini oleh,

SAZALI SOBRI
Wakil Gabungan Kelab Penyokong
H/P: 013-5088848

Kelab Penyokong Yang Turut Bersama:
HIJAUKUNING.COM (HKC)
KENARI FANS SQUAD (KFS)
PENYOKONG SETIA HIJAU KUNING (PSHK)
ULTRAS KEDAH (UK)
PEMINAT BOLASEPAK KEDAH (PBK)
SELURUH PENYOKONG SETIA SKUAD KEDAH DARUL AMAN



sumber: FB HKC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan