Selasa, 8 Oktober 2013

Berehat sat hujung minggu ni


MU sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega kerana berjaya menempatkan diri semula dalam kelompok sepuluh pasukan teratas dalam carta BPL selepas mencatatkan kemenangan ke atas Sunderland. Ini sekaligus mengurangkan sedikit tekanan terhadap MU dan DM yang telah mengalami tiga kekalahan dari tujuh perlawanan.

Sepertimana yang diakui oleh Rooney dan Giggs, kemerosotan prestasi MU di awal musim ini adalah berpunca daripada kegagalan para pemain MU untuk menampilkan persembahan yang memberangsangkan dan bukannya kesalahan sepenuhnya di bawah pengurusan baru DM. Ini adalah kerana skuad MU pada musim ini adalah skuad yang sama menjuarai BPL musim lepas, jadi seharusnya MU tidak berhadapan masalah untuk mengulangi prestasi yang baik seperti musim lepas. Tetapi persembahan pemain MU yang sedikit merosot menyebabkan MU hanya mampu untuk mengutip 10 mata sahaja setakat ini.

Walaupun MU kini berada di kedudukan ke-9, MU hanya dipisahkan enam mata sahaja dengan kelab di kedudukan teratas iaitu Arsenal dan Liverpool. Dengan saingan liga masih lagi panjang untuk ditamatkan, MU mempunyai ruang dan peluang untuk memperbaiki kedudukan dan tidak mustahil untuk memintas bagi berada di kedudukan teratas. MU sememangnya diketahui akan bermula sedikit perlahan di awal musim tetapi apabila saingan liga menghampiri sambutan Krismas dan Tahun Baru, MU akan mula menunjukkan persembahan yang bertenaga sehingga ke akhir musim.

MU dilihat sedikit gusar dalam usaha untuk memastikan permata baru, siapa lagi kalau bukan Januzaj untuk terus kekal di MU memandangkan kontraknya akan tamat pada musim panas ini. Para peminat MU pastinya tidak ingin MU mengulangi episod melepaskan pemain berbakat seperti Pogba dan Morrison dengan Januzaj dibenarkan untuk berhijrah terutamanya selepas mempersembahkan aksi yang bagus dalam penampilan sulungnya dalam kesebelasan utama MU.

Kepercayaan yang diberikan oleh DM kepada Januzaj tidak dipersia-siakan oleh pemain muda tersebut dengan menjadi wira MU bagi menumpaskan Sunderland. Pada ketika ini, MU benar-benar mencari inspirasi bagi membuat perubahan untuk memperbaiki persembahan dan prestasi dan ternyata Januzaj berjaya menjadi watak penting buat MU dan DM.

Tatkala MU bergembira dengan kehadiran Januzaj, MU turut ditimpa kesedihan apabila Fellaini berkemungkinan terpaksa disisihkan akibat kecederaan di bahagian tangan yang memerlukan pembedahan. Walaubagaimanapun, setakat ini, Fellaini masih belum menampakkan sumbangan yang bermakna dan ketiadaannya mungkin tidak begitu dirasai.

Jadi, ketiadaan Fellaini akan memberikan ruang kepada pemain lain untuk mendapatkan peluang beraksi dalam kesebelasan utama MU terutamanya Cleverley yang menampakkan persembahan yang cukup matang dalam perlawanan menentang Sunderland baru-baru ini. Cleverley mempunyai potensi untuk menjadi pemain yang baik tetapi kegagalan untuk menunjukkan prestasi yang konsisten menyebabkan dirinya tidak berupaya untuk memastikan tempatnya dalam kesebelasan utama MU.

Anderson juga perlu mempamerkan kesungguhan terutamanya ketika di latihan bagi menarik perhatian DM. Sepertimana Cleverley, Anderson memiliki bakat dan sudahpun menyertai MU sejak dari tahun 2007, perlu membuktikan kemampuannya pada musim ini.

Bahagian pertahanan MU tampak sedikit rapuh dalam beberapa perlawanan ini. Persembahan Vidic agak kurang memberangsangkan dan kerap melakukan kesilapan yang mengudang padah kepada pasukan. Dengan Ferdinand mengalami kecederaan dan Vidic mengalami kemerosotan, mungkin DM boleh memberikan peluang kepada Jones, Evans dan Smalling untuk beraksi di pertahanan tengah MU. Tambahan pula Vidic dan Ferdinand semakin berusia.

MU dilihat berada dalam keadaan terbaik dan jika kesemua pemain mampu untuk menampilkan persembahan yang bagus dalam setiap perlawanan, MU mampu untuk memperbaiki kedudukan dan bersaing dalam semua pertandingan dengan memperoleh keputusan yang positif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan