Khamis, 9 Ogos 2012

Ceritera MU di pagi hari


Untuk entry pagi ini, sementara hendak dapatkan mood bagi memulakan kerja, apa kata aku sembang atau buka topik tentang MU.

Pastinya ramai peminat MU berdebar-debar sejak kelmarin menantikan khabar dan kepastian tentang perjalanan urusan pembidaan MU ke atas Robin Van Persie (RVP). Terdapat beberapa halaman sesawang yang menyatakan bahawa MU telahpun berjaya mendapatkan persetujuan RVP untuk menyarung jersi MU tetapi yang menjadi penghalang adalah Arsenal.

Arsenal dikatakan bersedia untuk melepaskan RVP dengan yuran perpindahan 20 juta pound tetapi jika MU yang membuat penawaran, yuran perpindahan perlu ditingkatkan menjadi 25 juta pound. Ini adalah kerana Arsenal cuba untuk mengelakkan sebarang penjualan pemain hebatnya kepada seteru utama dalam perebutan kejuaraan BPL.

SAF sendiri mengakui bahawa sukar untuk mengikuti progres Arsenal dalam menangani urusan penjualan RVP ke MU. Apa yang pasti adalah RVP telah menyatakan bahawa beliau tidak berminat untuk beraksi di Itali dengan menyertai Juventus ataupun bersama Man City. Jadi, MU dilihat memiliki peluang yang cerah untuk mendapatkan khidmat RVP bagi saingan musim depan.

MU benar-benar memerlukan penyerang seperti RVP kerana jika dilihat prestasi MU dalam lima perlawanan persahabatan yang berlangsung setakat ini, MU hanya mampu meledakkan tiga gol sahaja. Mungkin faktor ketiadaan pemain utama dalam perlawanan akhir atau menganggap perlawanan tersebut sebagai pemanas badan sahaja, tetapi itu semua bukan alasan buat MU atas kegagalan menjaringkan lebih banyak gol.

Jesteru, kehadiran RVP sangat penting buat MU bagi menajamkan lagi sengat di bahagian serangan yang selama ini, beban tersebut digalas secara bersendirian oleh Rooney. Pasukan lawan pastinya berasa sedikit gentar jika MU dapat menggandingkan Rooney dengan RVP bagi mengetuai serangan MU, pemain yang berada dalam dua nama teratas dalam senarai penjaring gol terbanyak bagi BPL musim lepas.

Walaupun RVP akan melangkah ke usia 29 tahun dalam minggu ini dan mungkin hanya ada tiga ke empat tahun sahaja lagi untuk beraksi di tahap terbaik, tetapi dalam tempoh tersebut sudah cukup buat MU untuk mencatatkan sebarang kejuaraan yang dapat memberikan pulangan yang cukup setimpal dengan apa yang telah dibelanjakan untuk mendapatkan RVP.

Pada awalnya, tanpa adanya RVP, aku menjangkakan SAF akan menggunakan formasi 4-4-1-1, meletakkan Kagawa di belakang penyerang utama yang pastinya diisikan oleh Rooney. Jika SAF ingin menggunakan dua penyerang, MU akan menggunakan formasi 4-3-1-2. Formasi ini mungkin akan kerap digunapakai sekiranya RVP benar-benar menyertai MU. Kagawa dilihat lebih efektif dalam posisi yang menyerang dan tidak begitu menonjol dalam formasi 4-4-2, yakni beraksi di barisan tengah.

Aku sedikit pun tidak ralat selepas mengetahui MU terlepas untuk mendapatkan Lucas Moura yang bersetuju untuk menyertai PSG. Agak kurang munasabah untuk membayar lebih dari 30 juta pound ke atas pemain yang usianya tidak melepasi 20 tahun. Secara tidak langsung, memberikan peluang kepada Cleverly untuk beraksi dalam kesebelasan utama. Selain itu, Nani juga tidak berasa tergugat untuk bersaing merebut tempat seterusnya kekal di MU.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan