Keputusan perlawanan:
Manchester United 3
van Persie 10'
Kagawa 35'
Rafael 41'
Fulham 2
Duff 3'
Vidic (g.s.) 64'
Shinji Kagawa
Ulasan perlawanan:
MU berjaya bangkit daripada kekecewaan pada perlawanan pertama BPL apabila menumpaskan Fulham dengan keputusan 3-2 di OT. Tiga mata yang diperoleh adalah sangat berharga memandangkan MU tidak ingin ditinggalkan jauh oleh pendahulu carta BPL iaitu Chelsea yang kini telah mengutip sembilan mata.
MU dikejutkan dengan gol awal Fulham apabila Duff yang bijak melepasi kawalan Young berjaya melepaskan rembatan leret yang deras melepasi jangkauan DDG untuk menjaringkan gol pertama Fulham. Tersentak dengan gol Fulham, MU mula memperkemaskan corak permainan dengan melancarkan serangan dari sebelah sayap.
Valencia yang kembali diletakkan di sayap kanan manakala Young menggantikan Nani di sayap kiri benar-benar menggerakkan serangan MU. Gandingan Anderson dan Cleverly sebagai tunjang tengah juga tidak mengecewakan. Mereka berdua mampu untuk mengimbangi barisan tengah Fulham walaupun kadang-kala kelihatan tertekan apabila diasak oleh pemain Fulham seperti Dembele dan Diarra yang memiliki susuk tubuh yang besar.
Kagawa memainkan peranan sebagai penghubung bahagian tengah dan serangan dengan baik. Banyak lorongan dan hantaran berjaya dilakukan dengan berkesan dan secara tidak langsung memberikan sokongan dengan secukupnya kepada RVP. MU seolah-olah tidak merasai ketiadaan Rooney kerana persefahaman yang baik ditunjukkan oleh Kagawa dan RVP.
RVP meledakkan gol pertama MU menerusi rembatan volley menarik yang menewaskan Schwarzer. Sejurus gol tersebut, MU terus mengancam kubu pertahanan Fulham dengan menggunakan kepantasan larian Valencia dan Young.
Hasil sepakan sudut, MU menambahkan jaringan apabila Kagawa mudah menolak masuk bola ke dalam gawang Fulham. Bola rembatan Cleverly berjaya ditampan oleh Schwarzer tetapi Kagawa yang berada di kedudukan terbuka tidak mensia-siakan peluang bagi menjaringkan gol kedua MU.
Rafael yang tidak beraksi ketika bertemu Everton menampilkan persembahan yang cukup cemerlang ketika membantu serangan. Kesungguhannya itu memberikan hasil apabila Rafael menanduk masuk bola untuk gol ketiga MU selepas menerima umpanan daripada Young.
Prestasi MU dalam separuh masa pertama memang menampakkan kemantapan terutamanya di bahagian tengah dan serangan. Hantaran dapat dilakukan dengan pantas dan serangan dapat dilaksanakan dengan lancar di mana Cleverly dan Anderson memastikan kawasan tengah padang menjadi milik MU, Young dan Valencia bergerak dengan cukup berkesan di bahagian sayap sementara Kagawa dan RVP bertindak mengancam benteng pertahanan Fulham.
Boleh dikatakan dua gol yang dilepaskan oleh MU adalah berpunca daripada kelalaian Rafael. Ini adalah kerana gol-gol tersebut dihasilkan selepas Fulham melancarkan serangan daripada sebelah kanan MU yakni kawasan Rafael selaku rightback. Inilah yang akan merisaukan SAF sebenarnya kerana Rafael amat bagus ketika membantu serangan tetapi kurang berkesan ketika menghalang serangan pihak lawan.
Pujian harus diberikan kepada Carrick kerana bukan sahaja beraksi dengan baik di bahagian pertahanan malah mampu untuk membuat hantaran-hantaran jauh bagi memulakan serangan MU. Selepas ini, Vidic dan DDG perlu mempertingkatkan komunikasi antara satu sama lain kerana kesilapan mereka berdua telah membolehkan Fulham mendapatkan gol kedua. Kegagalan DDG untuk menumbuk bola keluar dan Vidic yang menampan masuk bola ke dalam gawang sendiri menyebabkan MU kelihatan gemuruh sementara menanti wisel penamat ditiupkan.
Rooney yang dimasukkan bagi menggantikan Anderson tidak memberikan impak malah situasinya bertambah teruk apabila terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan serius. Berbanding Rooney, Welbeck dan Giggs sekurang-kurangnya berupaya membantu pasukan terutamanya selepas kedudukan perlawanan menjadi 3-2.
Fulham ternyata bukan lawan yang mudah buat MU. Dembele agak sukar untuk dikekang oleh Cleverly dan Anderson sementara Petric dan Kacaniklic berjaya membuatkan Vidic dan Carrick bekerja keras menjaga benteng pertahanan MU. Hangeland juga tangkas mengawal RVP bagi menidakkan RVP menjaringkan lebih dari satu gol.
MU menampakkan kelemahan di bahagian pertahanan kerana ketiadaan pasangan sebenar Vidic di pertahanan tengah. Jika pasukan lawan lain dapat mengikuti rentak permainan yang telah ditunjukkan oleh Everton, MU pasti akan berhadapan dengan tugas berat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan