Keputusan perlawanan:
MANCHESTER UNITED 0
EVERTON 1
Fellaini 57'
Marouane Fellaini
Ulasan perlawanan:
MU bermula dengan langkah kiri bagi permulaan saingan BPL musim ini apabila tewas 0-1 di tangan Everton dalam perlawanan yang berlangsung di Goodison Park. Kekalahan MU bukanlah berpunca dari prestasi yang teruk tetapi lebih kepada kebijaksanaan Everton memberikan persembahan yang benar-benar mengejutkan MU.
Sepertimana yang telah ditunjukkan pada musim lepas, Everton seolah-olah telah menjumpai 'blueprint' bagaimana untuk menghampakan MU dalam sesuatu perlawanan. Dengan menjadikan Fellaini sebagai titik fokus serangan, Everton juga bijak mengekploitasikan kelemahan MU di bahagian pertahanan selepas ketiadaan Ferdinand di mana kekosongannya itu diisikan oleh Carrick yang diketahui bukanlah seorang pemain pertahanan.
Moyes bijak mengarahkan Jelavic untuk menjadikan dirinya sentiasa dikawal oleh Vidic sementara Fellaini hanya berhadapan dengan Carrick. Ini sekaligus membolehkan Fellaini memenangi sebahagian besar situasi bola tinggi seterusnya menggerakkan serangan buat Everton. Selain itu, Moyes juga menerapkan dua lapisan pertahanan (4 pertahanan dan 4 midfield) bagi mengecilkan ruang seterusnya mengakibatkan MU gagal bergerak dengan lancar selain memiliki masa yang kurang ketika penguasaan bola.
MU seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal membuat hantaran yang lebih pantas yang dapat mengucar-kacirkan pertahanan Everton. Keadaan MU bertambah teruk apabila Nani dan Welbeck tenggelam di bahagian sayap. Ini menyebabkan Kagawa keseorangan menggerakkan serangan MU selain tidak dapat memberikan bantuan secukupnya kepada Rooney.
Cleverly yang bermain sedikit ke bawah bersama-sama Scholes turut gagal memberikan impak sepertimana yang dikehendaki oleh SAF. Mungkin SAF merasakan bahawa Cleverly akan bertindihan dengan Kagawa jika disuruh beraksi lebih ke hadapan sekaligus menyebabkan bahagian tengah MU menjadi longgar kerana ketiadaan Carrick.
RVP yang dirasakan sepatutnya bermain dalam kesebelasan utama hanya dimasukkan sebagai pemain gantian gagal menonjolkan kemampuannya kerana tidak menerima umpanan dan hantaran secukupnya daripada bahagian tengah. Rooney pula jelas menampakkan ketumpulan kerana tidak berupaya membuat percubaan ke arah pintu gol Everton yang benar-benar mencabar keupayaan Howard.
Kekalahan di tangan Everton seharusnya menjadi iktibar buat MU untuk memperbaiki segala kelemahan agar tidak lagi berputih mata dalam perlawanan seterusnya. Corak permainan MU perlu berubah bagi memastikan Rooney dan RVP mampu untuk menjadi pasangan penyerang yang mampu untuk merobek pertahanan lawan dan menyumbangkan sebeberapa banyak gol yang boleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan