Selasa, 3 Julai 2012

Ulasan empat pasukan terbaik Euro 2012 - Itali


Untuk hari ini, aku akan cuba kupas tentang dua pasukan yang melangkah ke perlawanan akhir Euro 2012 dan kita mulakan dengan Itali terlebih dahulu.

Itali berjaya menaikkan kembali nama mereka dalam persada bola sepak antarabangsa selepas beberapa tahun yang agak suram berbanding dengan prestasi kelab Serie A yang tampak lebih menyinar. Sejak memenangi Piala Dunia 2006, persembahan Itali dalam beberapa kejohanan tidak begitu memberangsangkan. Mungkin ini disebabkan oleh bersaranya beberapa pemain yang dilabelkan sebagai lagenda seperti Maldini, Cannavaro, Nesta dan lain-lain lagi.

Dalam Euro 2012, Itali telah diundikan dalam Kumpulan C bersama-sama dengan juara berganda, Sepanyol, Croatia dan Republik Ireland. Ramai yang menjangkakan Itali akan mampu mengiringi Sepanyol sebagai wakil kumpulan sehingga setakat suku akhir sahaja, tetapi Itali membuktikan sebaliknya. Itali berupaya melangkahkan kaki sehingga ke perlawanan akhir dan itu merupakan kejayaan yang boleh dibanggakan.

Itali berhadapan dengan Sepanyol dalam aksi sulung kumpulan C dan memberikan kejutan apabila mampu untuk mengikat keputusan 1-1 dengan penyandang juara Euro 2008 itu. Corak permainan yang ditunjukkan amat berbeza jika dibandingkan dengan tipikal Itali yang selalunya mempunyai peratusan penguasaan bola yang tidak tinggi.

Jurulatih Itali, Prandeli berjaya mengubah corak permainan Itali dengan menjadikannya lebih menarik menerusi kerajinan dan persefahaman yang baik di kalangan pemain. Namun, Itali masih mengharapkan Pirlo untuk menjadi enjin pasukan bagi menggerakkan bahagian tengah. Selain Pirlo, tenaga lama seperti Buffon turut diharapkan dan ternyata keputusan tersebut tidak mengecewakan apabila Buffon beraksi dengan baik sepanjang kejohanan berlangsung.

Oleh kerana dihimpit oleh masalah kecederaan di kalangan pemain terutamanya di bahagian pertahanan, De Rossi terpaksa beraksi di bawah. Chellini dan Mota antara pemain yang berada dalam proses pemulihan kecederaan masih berada dalam skuad ke Euro walaupun tidak cergas sepenuhnya. Jadi, Prandeli memberikan kepercayaan kepada pemain-pemain muda seperti Barzagli, Bonucci bagi memperkuatkan skuad Itali.

Dalam perlawanan bertemu Croatia, Itali sekali lagi mencatatkan keputusan seri 1-1 dan masih lagi mempunyai harapan untuk melepasi saingan kumpulan sekurang-kurangnya di tangga kedua. Itali akhirnya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Republik Ireland dalam perlawanan ketiga kumpulan sekaligus melayakkan diri ke suku akhir untuk bertemu England.

Saingan dalam suku akhir menyaksikan Itali terpaksa menunggu sehingga penentuan sepakan penalti untuk menjejakkan kaki ke separuh akhir. Walaupun baharu sahaja bergandingan, Balotelli dan Cassano menampakkan persefahaman yang baik di bahagian serangan Itali. Gandingan mereka berdua berjaya menghampakan Jerman dalam aksi separuh akhir.

Persembahan Itali yang cukup memberangsangkan ketika menewaskan Jerman membuatkan ramai yang menjangkakan Sepanyol akan berhadapan tugas berat untuk mempertahanan kejuaraan. Dalam perlawanan akhir, Itali cuba untuk menguasai permainan namun keberkesanan taktikal dan kebijaksanaan memanfaatkan peluang oleh Sepanyol menyebabkan Itali ketinggalan 0-2 dalam separuh masa pertama.

Itali terus tenggelam dalam separuh masa kedua dan keadaan bertambah parah apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas Motta yang dimasukkan selaku pemain gantian terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. Selepas itu, Itali kelihatan tidak bermaya tatkala keletihan mula dirasakan oleh para pemain. Bunyinya wisel penamat, Itali tewas 0-4 dalam perlawanan akhir Euro 2012.

Secara keseluruhan, Itali mempunyai adunan yang cukup menarik untuk menjadi pasukan yang kuat. Walaupun ketiadaan beberapa pemain utama, Itali masih mampu untuk mencabar sehingga melangkah ke perlawanan akhir. Sememangnya tiada lagi nama besar seperti Del Piero, Totti, Inzaghi, Maldini dan sebagainya dalam skuad, namun begitu pemain muda sedia ada pastinya mampu untuk membawa Itali ke tahap yang sepatutnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan