Selasa, 17 Julai 2012

Ke mana hala tuju KEDAH?


Liga Super telahpun melabuhkan tirai penutupnya dengan kejuaraan untuk musim ini dimiliki oleh Kelantan. Ianya kejuaraan kedua buat Kelantan selepas memenangi Piala FA beberapa bulan lepas. Tetapi, bagaimanakah pula dengan pasukan kesayangan aku selepas ini?



Kedah hanya berupaya menamatkan saingan Liga Super 2012 dengan berada di kedudukan ke 12 daripada 14 buah pasukan yang bertanding. Kedudukan tersebut membolehkan Kedah untuk beraksi dalam Piala Malaysia yang akan berlangsung selepas musim raya nanti. Namun, kedudukan tersebut tidak memberikan peluang kepada Kedah untuk layak secara automatik ke Liga Super untuk musim hadapan.

Sepertimana yang telah diketahui, FAM telah membuat rombakan dan perubahan terhadapa format Liga Super 2013 di mana hanya 12 buah pasukan sahaja yang akan bertanding berbanding 14 buah pasukan untuk musim ini. Secara tidak langsung, hanya 10 buah pasukan teratas untuk Liga Super 2012 sahaja yang layak ke Liga Super 2013 termasuk LionsXII yang beraksi sebagai pasukan jemputan. Satu slot diberikan khas untuk juara Liga Perdana iaitu ATM.

Jadi, hanya satu slot sahaja lagi yang menjadi rebutan antara empat buah pasukan iaitu Kedah, Sabah, Sarawak dan Pahang. Keempat-empat pasukan akan bersaing secara play-off bagi mencari sebuah pasukan sahaja untuk mengisi slot terakhir tersebut. Walaupun berjaya menampakkan peningkatan dengan memperoleh beberapa kemenangan, tetapi itu belum cukup kerana Kedah terpaksa beraksi dalam play-off ini kerana prestasi yang kurang memberangsangkan terutamanya di awal musim.

Di manakah kesilapannya? Adakah barisan kejurulatihan perlu menanggung segala kesilapan? Atau jari perlu ditundingkan ke arah pihak pengurusan KFA? Atau pemain sendiri yang gagal memberikan persembahan yang sepatutnya selaku pemain bertaraf profesional? Banyak yang perlu diperbaiki jika Kedah ingin dilihat semula selaku pasukan hebat.

Mujur Kedah boleh beraksi dalam Piala Malaysia nanti. Jikalau tidak, pastinya sebahagian rakyat Kedah 'mati kutu' pada hujung minggu kerana bukan sahaja tidak dapat menonton aksi Kedah menerusi kaca televisyen, bahkan tidak berpeluang menjejakkan kaki ke stadium. Aku yakin, peminat bola sepak Kedah sekurang-kurangnya mungkin akan melupakan kemerosotan pretasi Liga Super dan memberikan sokongan dan penumpuan terhadap aksi Kedah dalam Piala Malaysia.

Apa yang positif adalah perubahan corak permainan Kedah pada penghujung saingan Liga Super. Para pemain tampak selesa bermain di bawah kendalian Haji RMD. Mungkin kaedah atau pendekatan yang digunapakai oleh Haji RMD memberikan semangat dan pemahaman yang lebih kepada pemain. Selain itu, penempatan semula beberapa pemain ke posisi asal dan sepatutnya turut memberikan kesan terhadap prestasi Kedah. 

Kedah diharapkan mampu untuk mengekalkan prestasi cemerlang ini ke saingan Piala Malaysia. Keputusan yang baik dicatatkan dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan diharapkan dapat mengembalikan keriuhan di SDA.

PULUN KEDAH PULUN!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan