Isnin, 25 Jun 2012

Review on quarter finals of Euro 2012


Dengan tamatnya perlawanan awal pagi tadi antara England dan Itali, berakhir sudah saingan peringkat suku akhir Euro 2012. Pada peringkat separuh akhir, menyaksikan empat pasukan gergasi bertembung antara satu sama lain di mana Itali akan bertemu Jerman sementara Sepanyol berhadapan dengan Portugal.

Jika dilihat secara keseluruhannya, keempat-empat pasukan merupakan wakil dari Kumpulan B dan C sekaligus menggambarkan bahawa mereka sememangnya pasukan yang hebat memandangkan cabaran di peringkat kumpulan boleh dikatakan sukar terutamanya dalam Kumpulan B.

Portugal seharusnya berterima kasih kepada kaptennya, siapa lagi kalau bukan Cristiano Ronaldo (CR) yang berjaya memberikan sumbangan yang cukup bermakna dalam dua perlawanan terakhir. Dalam dua perlawanan pertama iaitu ketika Portugal menentang Jerman dan Denmark, CR tampak beraksi dalam tekanan kerana seolah-olah ingin membawa cabaran negaranya secara berseorangan. Namun, mungkin kerana diarahkan oleh jurulatih Portugal, CR menampilkan persembahan bertenaga ketika bertemu Belanda dan pastinya turut dipengaruhi oleh prestasi pemain sepasukan.

Banyak percubaan ke arah gawang gol yang menggegarkan pintu gol lawan mampu dilakukan oleh CR. Aku yakin, jika Portugal memiliki penyerang yang cukup berbisa, tugas untuk menjaringkan gol tidak hanya dibebankan terhadap CR sahaja. Sepanyol yang rata-rata dibarisi oleh pemain yang beraksi dalam La Liga sudah biasa berhadapan dengan aksi CR dan pastinya akan berusaha mengekang pergerakan dan corak permainan CR.

Jerman pula menampakkan kematangan yang cukup memberangsangkan berbanding ketika beraksi dalam Piala Dunia 2010. Para pemain Jerman tampak selesa bermain antara satu sama lain walaupun jurulatih Jerman melakukan sedikit rombakan di bahagian pertahanan. Mungkin kerana berasa yakin untuk mencatatkan kemenangan ke atas Greece, Gomez dan Pudolski direhatkan dengan memberikan peluang beraksi kepada Klose, Reus dan Schurrle di bahagian serangan.

Perubahan pemain langsung tidak menjejaskan corak permainan Jerman yang ditunjangi oleh tiga pemain tengahnya iaitu Ozil, Khedira dan Schwiensteiger yang cukup ampuh dalam formasi 4-3-3. Setakat ini, Jerman hanya dibolosi oleh gol yang dijaringkan menerusi serangan balas yang pantas. Jika secara permainan terbuka, pertahanan Jerman begitu kukuh.

Sepanyol pula boleh dikatakan lambat panas dalam saingan Euro 2012. Pada perlawanan pembukaan, Sepanyol beraksi dengan hambar dan kini seperti telah memasuki gear atas, Sepanyol kembali bertenaga. Perancis dengan mudah diketepikan oleh Sepanyol dan menepati status selaku juara dunia dan juara bertahan eropah.

Beraksi secara kolektif, yakni semua pemain di bahagian tengah dan serangan mampu menghasilkan gol membuat Sepanyol sedikit kehilangan sengat akibat ketiadaan Villa. Walaupun menjaringkan dua gol, Torres masih gagal mengulangi kecemerlangannya ketika Piala Dunia 2010 lalu sementara Llorente pula tidak mempunyai pergerakan yang menarik bagi menyesuaikan corak permainannya dengan rakan sepasukan lain. 

Itali yang menaruhkan kepercayaan kepada Pirlo berjaya membuahkan hasil dalam Euro 2012. Pirlo memainkan watak yang cukup penting buat Itali walaupun Itali mempunyai masalah kecederaan pemain yang boleh dikatakan agak kritikal. Sepertimana yang telah aku nyatakan sebelum ini, Itali bukan sebuah pasukan yang 'fancy' tetapi memiliki kekentalan di bahagian pertahanan yang amat sukar untuk dibolosi.

Hasil daripada keutuhan benteng pertahanannyalah membolehkan Itali mempunyai paksi yang kuat seterusnya memberikan platform kepada bahagian tengah dan serangan untuk memburu sekurang-kurangnya satu gol. Itali tidak mementingkan sangat corak permainan yang cantik tetapi memandang berat keputusan bagi sesuatu perlawanan. Corak permainan yang efisyen ini telah menjadi senjata Itali sejak sekian lama.

Walaupun ramai yang menjangkankan Sepanyol akan bertemu Jerman dalam aksi perlawanan akhir Euro 2012, tetapi Portugal dan Itali merupakan pasukan yang sukar diduga. Selagi belum tamat 90 minit masa permainan separuh akhir, dua slot ke perlawanan akhir akan menjadi rebutan antara Jerman, Portugal, Sepanyol dan Itali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan