Rabu, 18 April 2012

Sinar baru Kedah?


Dalam perlawanan terakhir Liga Super bagi pusingan pertama, aku sempat menonton di SDA. Sepertimana yang kita semua sedia maklum, Kedah kalah 0-2 di tangan Sarawak. Bagi aku, kekalahan Kedah itu merupakan sesuatu yang agak merugikan sebab Kedah bermain di tempat sendiri yang pastinya menerima sorakan meriah peminat hijau kuning.

Perlawanan tersebut juga menyaksikan penampilan terakhir Hamidan dalam jersi Kedah apabila KFA mengambil keputusan untuk tidak menyambung khidmatnya. Ini adalah kerana Hamidan gagal mengekalkan konsistensinya dalam menjaringkan gol selain prestasi yang amat buruk di awal penyertaannya dalam skuad Kedah.

Ketika bertemu Sarawak, Kedah boleh dikatakan menguasai sebahagian besar permainan dalam separuh masa pertama. Tetapi dalam separuh masa kedua, Kedah beraksi agak longlai tanpa kelibat Safi yang terpaksa dikeluarkan akibat mengalami kecederaan. Ketiadaan Safi begitu dirasai oleh Kedah apabila permainan Kedah menjadi berterabur selain Hamidan yang tumpul di bahagian serangan.

Sarawak mengambil kesempatan tersebut untuk menjaringkan dua gol sekaligus mencatatkan kemenangan yang cukup berharga ke atas Kedah. Kedah seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal mengambil semangat dan sorakan puluhan ribu penyokong Kedah dan menterjemahkannya ke dalam permainan.

Dalam perlawanan pertama Liga Super pusingan kedua, Kedah bertandang ke Sarawak dengan azam yang baru. Kedah juga mengambil pemain import baru iaitu Vedran Gerc selaku penggempur menggantikan Hamidan. Ternyata pengambilan Gerc membuahkan hasil apabila beliau menyumbangkan dua gol sekaligus membolehkan Kedah memperoleh kemenangan di Sarawak.

Kemenangan yang dicatatkan oleh Kedah di Sarawak boleh dianggap membanggakan kerana selain Gerc membuat penampilan sulung, Kedah juga beraksi tanpa kelibat Safi yang direhatkan. Kemenangan tersebut menjadi platform terbaik buat Kedah untuk membuat persediaan yang rapi bagi bertemu Kelantan dalam perlawanan separuh akhir pusingan pertama Piala FA yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

Kehadiran Safi ke dalam kesebelasan utama Kedah pastinya dinantikan oleh para peminat skuad hijau kuning  kerana dengan adanya Safi, Kedah sekurang-kurangnya memiliki barisan tengah yang ampuh untuk berhadapan dengan Kelantan yang rata-rata dibarisi pemain-pemain yang ternama. 

Apapun, aku yakin Kedah mampu membuat kejutan pada hujung minggu ini dengan menjadikan kemenangan ke atas Sarawak malam tadi sebagai pemangkin semangat untuk memberikan aksi yang bertenaga. Tahun 2012 mungkin menjadi lembaran baru buat Kedah untuk kembali menempatkan diri dalam skuad elit dalam Malaysia selepas agak sugul beberapa musim yang lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan