Isnin, 2 April 2012

Hamidan wira Kedah


Penyerang import Kedah, Hamidan sekali lagi menjadi duri dalam daging pasukan lawan apabila meledakkan dua gol sementara menghasilkan satu lagi gol dalam perlawanan Kedah dengan Perak yang berlangsung di Stadium Darul Aman (SDA).


Setakat ini, Hamidan telah menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan terakhir sekaligus membolehkan Kedah mencatatkan kemenangan ketiga dalam Liga Super 2012. Kedah kini berada di tangga ke 10 dan mula menjarakkan diri dengan kelompok tiga pasukan terbawah.

Sejak kebelakangan ini, jurulatih skuad Kenari, Wan Jamak gemar untuk menggunakan formasi 3-3-2-2 yang dilihat agak pelik. Namun, perancangan taktikal dan strategi di bawah kendalian Wan Jamak telah membuahkan hasil yang cukup memberangsangkan.

Kedah yang berhadapan dengan kunjungan Perak di SDA menerima suntikan semangat sebelum tiupan wisel permulaan apabila DYMM YDP Agong mencemarkan duli untuk berangkat ke SDA bagi menyaksikan aksi yang bakal ditunjukkan oleh para pemain Kedah. Kehadiran YDP Agong turut diserikan dengan kelibat YB Dato' Seri Ustaz Azizan yang turut hadir bagi memberikan semangat.

Kedah bermain dengan kemas sepanjang perlawanan berlangsung dengan membuat hantaran-hantaran pendek dan menguasai kawasan tengah padang. Namun, penguasaan tersebut tidak diterjemahkan dengan baik untuk mencipta peluang menjaringkan gol. Perak pula tampak lebih berbahaya apabila berupaya mengancam pintu gol Kedah walaupun tidak kerap melancarkan serangan.

Hamidan yang diawalnya diletakkan di belakang Muhymeen telah membuat sedikit perubahan posisi dan mula beraksi selaku targetman. Selain pertukaran posisi antara Muhymeen dengan Hamidan, kemasukan Amar yang menggantikan Aminuddin telah menyebabkan corak permainan Kedah menjadi semakin menarik.

Hamidan menjaringkan gol pertama Kedah apabila mudah merembat masuk bola ke dalam gawang gol Perak selepas menerima sepakan sudut Baddrol. Hamidan bijak mencari ruang kosong walaupun ramai pemain Perak berada dalam kotak penalti ketika Kedah ingin mengambil sepakan sudut tersebut.

Perak bermula garang pada separuh masa kedua dengan cuba melancarkan serangan terhadap Kedah. Namun ketenangan Safi mengemudikan barisan tengah Kedah berjaya menghadkan pergerakan Perak. Baddrol sedikit tenggelam dalam memberikan sumbangan terhadap pasukan apabila banyak hantarannya tersangkut ataupun tidak tepat.

Hasil gerakan pantas yang dilancarkan, Hamidan yang melarikan bola cuba untuk menyilangkan bola tersebut kepada Baddrol tetapi dipintas oleh pertahanan Perak. Pintasan tersebut telah mengakibatkan bola melambung tinggi ke arah pintu gol Perak dan melepasi jangkauan penjaga gol Perak seterusnya menghasilkan gol jaringan sendiri.

Kedah menambahkan jaringan apabila Hamidan sekali lagi melarikan bola dari kawasan tengah merembat dari jarak jauh. Bola rembatan Hamidan yang deras terus menerjah jaring gol Perak bagi menjadikan keputusan 3-0. Gol tersebut telah mematikan terus semangat Perak untuk bangkit.

Nama Hamidan kini meniti di bibir peminat hijau kuning kerana telah menjadi wira. Walaubagaimanapun, berlaku kejutan apabila tersiar khabar mengatakan Hamidan bakal meninggalkan Kedah kerana kontraknya ditamatkan. Ini memberikan peluang kepada Kedah untuk mencari penyerang import yang baru selepas mendapati Hamidan hanya menyumbangkan gol baru-baru ini sahaja dan bukannya dari awal kemasukannya ke Kedah.

Setelah mendapatkan penjelasan dan pencerahan yang sepatutnya, Hamidan sebenarnya diberikan kontrak yang tamat pada 31hb Mac 2012. Ini adalah kerana Persatuan Bola sepak Kedah ingin mengambil pendekatan selamat agar tidak memberikan kontrak kepada pemain yang tidak memberikan sumbangan yang bermakna buat pasukan. Jadi, nasib Hamidan sama ada terus berbakti di bumi Kedah hanya akan diketahui Rabu ini.

Apapun, Kedah kini berada dalam landasan yang baik untuk mengembalikan kegemilangan yang sebelum ini suram. Dengan kebijaksanaan Wan Jamak dan kehadiran pemain import berkualti selain kematangan persembahan pemain sedia ada, Kedah mampu menempatkan diri dalam kelompok pasukan terbaik Malaysia.

2 ulasan:

  1. tu la cam best je 3322 formasi pelik dr coach wan jamak, xpenah lg la tgok formasi cmtu..uhuhuh..best2..xlaa duk men 442 je..uhuhu

    BalasPadam
  2. mula2 aku ingat 5-3-2, tgk masa kedah vs perlis. rupanya mmg 3-3-2-2. tak men terlalu wide. compact kat tengah. tapi bila push men winger, baru nampak Hamidan ni berkesan.

    BalasPadam