Khamis, 12 April 2012

Review: MU vs Queens Park Rangers - BPL


Keputusan perlawanan:

Manchester United 2
Wayne Rooney (pen) 15'
Paul Scholes 68'

Queens Park Rangers 0


Ulasan perlawanan:

MU menjarakkan jurang perbezaan mata kepada lapan apabila memperoleh kemenangan 2-0 ke atas Queens Park Rangers (QPR) dalam aksi yang agak berat sebelah di mana MU dilihat menguasai sebahagian besar permainan.

Walaubagaimanapun, keputusan 2-0 itu seharusnya boleh menjadi lebih besar sekiranya MU mampu menterjemahkan majoriti penguasaan bola bagi menjana peluang-peluang yang boleh menambahkan jaringan. Ini adalah kerana QPR beraksi hampir 80 minit masa permainan dengan hanya sepuluh orang pemain apabila kaptennya, Derry menerima layangan kad merah selepas mengasari Young dalam kotak penalti.

Gol pertama MU dihasilkan menerusi sepakan penalti yang diambil oleh Rooney pada ketika perlawanan hanya berlangsung selama 15 minit. Namun, sejurus gol tersebut, MU seolah-olah sudah berpuas hati dengan kelebihan satu gol dan hanya menukar hantaran di kawasan tengah padang.

Memandangkan beraksi dengan kekurangan seorang pemain, QPR bermain dengan lebih kompak dan penuh disiplin terutamanya di bahagian pertahanan. Ini sekaligus menyukarkan MU untuk menerobos ke kotak penalti QPR tambahan pula barisan serangan MU kelihatan agak tumpul. Rooney dan Welbeck dilihat sukar mencari ruang-ruang kosong serta gagal melakukan larian yang berkesan.

MU seharusnya berterima kasih kepada Scholes apabila tenang mengemudikan barisan tengah MU dengan hantaran-hataran yang tepat kepada rakan-rakan serta mencuba secara keseorangan menggerakkan serangan MU. Namun kekentalan pertahanan QPR menggagalkan usaha MU untuk menambahkan jaringan. 

Scholes yang beberapa kali telah diminta oleh peminat MU di OT untuk membuat percubaan jarak jauh akhirnya meledakkan rembatan deras yang melepasi jangkauan penjaga gol QPR. Rembatan tersebut terus menerjah jaring membolehkan MU menarik sedikit nafas lega apabila keputusan perlawanan menjadi 2-0.

Kemasukan Giggs dan Cleverly sedikit sebanyak mempercepatkan tempo permainan MU yang agak perlahan. Valencia dan Young tidak banyak memberikan sumbangan kerana dikawal dengan ketat oleh pertahanan QPR.

Dengan perlawanan MU bertemu QPR berlangsung sedikit awal daripada perlawanan Man City dan Arsenal, dan MU mencatatkan kemenangan, tekanan pastinya menimpa skuad Roberto Mancini bagi terus mengekori MU dalam carta BPL. 

Walaupun bertemu dengan pasukan yang berada dalam kelompok terbawah, MU kelihatan terpaksa berusaha keras untuk mencatatkan kemenangan. Situasi MU juga tidak begitu baik apabila Rooney tampak kehilangan sedikit sengat dalam mengancam kubu lawan. Namun, tiga mata yang diperoleh merupakan hadiah yang cukup berharga tatkala perlawanan BPL semakin menuju ke tirai penutupnya.


Pemain terbaik perlawanan:

Paul Scholes

Tiada ulasan:

Catat Ulasan