Selasa, 17 Januari 2017

Mujoq tak kalah


MU hanya sekadar seri 1-1 dengan Liverpool dalam aksi BPL hujung minggu lepas.

MU memerlukan gol Ibrahimovic di penghujung masa perlawanan untuk memperoleh keputusan seri 1-1 dengan Liverpool. Walaupun MU sebenarnya berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol  tetapi kecekapan penjaga gol Liverpool, Mignolet menidakkan hasrat MU.

Pada pendapat aku, JM tidak seharusnya menurunkan Martial dan Mkhitaryan dalam kesebelasan utama MU walaupun pada dasarnya kedua-dua mereka menunjukkan persembahan yang cukup bertenaga dalam perlawanan sebelumnya. Ini adalah kerana pertembungan MU-Liverpool merupakan perlawanan bertekanan tinggi dan pastinya akan memberikan kesan terhadap permainan sesetengah pemain.

Kita dapat lihat di mana Pogba bermain dalam tekanan akibat terlalu ingin memberikan aksi yang baik. Secara tidak langsung, Pogba mudah melakukan kesilapan dan gagal memainkan peranannya membuka permainan MU sepertimana yang ditunjukkan sebelum ini. Rooney dan Mata masing-masing mempunyai pengalaman dan dirasakan mampu memberikan kelebihan kepada MU ketika berhadapan dengan Liverpool. 

MU seolah-olah hilang punca dalam separuh masa pertama. Gerakan MU dilihat tidak begitu lancar dan mengakibatkan Ibrahimovic agak keseorangan di bahagian serangan. Ini sekaligus memberikan ruang dan peluang kepada Liverpool untuk menguasai permainan. Walaubagaimanapun, Liverpool hanya memperoleh gol menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan Pogba dalam kotak penalti MU. Ucapan syabas seharusnya diberikan kepada pertahanan MU yang mantap mengekang asakan Liverpool.

Permainan MU dalam separuh masa kedua agak lebih menarik. Pergerakan dan serangan MU tampak lebih teratur. Kemasukan Rooney dan Fellaini sedikit sebanyak mengubah gaya permainan MU dan akhirnya Mu berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi tandukan jarak dekat Ibrahimovic.

Kejuaraan BPL musim ini mungkin agak sukar untuk disaingi MU memandangkan jurang perbezaan mata yang agak ketara tetapi sekurang-kurangnya MU harus menggunakan peluang yang ada untuk memastikan diri berada dalam slot ke UCL pada musim hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan