Jumaat, 20 Januari 2017

Dua yang dah konfem


Depay dan Schneiderlin sudahpun berhijrah keluar dari MU dalam tingkap perpindahan Januari ini.

MU agak aktif dalam tingkap perpindahan Januari ini apabila telah menjual Depay dan Schneiderlin. Sepertimana yang diketahui, Schneiderlin telah menyertai Everton manakala Depay pula berhijrah ke kelab Perancis, Lyon. Kedua-dua pemain tersebut tiba di MU semasa di bawah kendalian LVG.

Pada pendapat aku, Depay dan Schneiderlin merupakan pemain yang baik. Jika tidak, masakan MU berminat untuk mendapatkan mereka berdua. Masing-masing boleh dikatakan memiliki potensi untuk menjadi pemain yang berkaliber.

Namun, prestasi mereka berdua rasanya dipantau dan dinilai dengan secukupnya oleh JM, terutamanya ketika latihan. Mungkin, Depay dan Schneiderlin tidak menunjukkan prestasi yang benar-benar mencapai tahap yang dikehendaki oleh JM. Selain itu, tiadanya 'extra skill' atau 'speciality' mungkin menjadi salah satu faktor kegagalan mereka untuk menarik perhatian JM untuk disenaraikan dalam skuad utama MU.

Maksud aku adalah Depay dan Schneiderlin tidak dapat membezakan corak permainan mereka serta gagal memiliki sekurang-kurangnya satu kelebihan berbanding pemain MU yang lain. Kiranya Depay hanya berfungsi sebagai pemain sayap asli manakala Schneiderlin pula hanya bertindak sebagai pemain tengah yang biasa.

Jika dilihat kepada pemain lain, Fellaini misalnya, beliau mempunyai cukup berkemahiran untuk situasi bola tinggi yang mana sesuai untuk taktikal hantaran bola jauh. Dengan kemahiran inilah, Fellaini berjaya menempatkan dirinya dalam skuad utama MU dan JM sememangnya akan sentiasa menggunakan Fellaini pada masa atau perlawanan tertentu, bergantung kepada permainan pihak lawan.

Martial dan Mkhitaryan pula bukan sekadar mampu beraksi di bahagian sayap, malah kedua-dua mereka mampu untuk memulakan serangan menerusi larian pantas dan gelecekan bola di samping berupaya untuk menghasilkan gol. Pelbagai keupayaan sebeginilah yang diinginkan oleh JM dan gagal untuk dimiliki atau diperoleh oleh Depay dan Schneiderlin.

Apapun, selamat maju jaya buat Depay dan Schneiderlin di kelab baru masing-masing. Penjualan Depay dan Schneiderlin juga boleh dikatakan bagus memandangkan yuran perpindahan mereka ke kelab baru adalah hampir sama dengan harga yang dibayar oleh MU ketika mendapatkan mereka berdua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan